Kata kawan saya, ujian daripada Allah datang kadang-kadang untuk mengingatkan kita padaNya. Supaya kita sedar dan kembali ke jalanNya. Agar kita sentiasa mengingatiNya. Mungkin ada waktunya kita terleka seketika dengan dunia. Mungkin juga kita hanya mencariNya bila kita susah dan bersedih tapi melupakanNya bila kita suka dan gembira.
Kata kawan saya, banyakkanlah bersabar dalam menempuh segala ujian tersebut. Apa saja ujian yang diberikan pada kita adalah mengikut kemampuan kita. Allah takkan menguji kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu. Andainya Allah percaya yang kita boleh dan mampu melalui, menempuhi dan menyelesaikannya, kenapa tidak kita percaya pada diri sendiri yang kita juga boleh?
Kata kawan saya, Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Allah sentiasa bersama dengan orang yang selalu mengingatiNya. Lupakan masalah saya sekejap dan kembalilah padaNya. Cubalah mengingati dan bersama denganNya sebentar. Mohonlah petunjuk, hidayah dan jalan penyelesaian untuk segala permasalahan.
Kata emak, dugaan dan ujian itu umpama penyakit. Dalam Al-Quran sudah tertulis setiap penyakit itu ada ubatnya. Begitu juga dengan dugaan dan ujian. Pasti ada cara untuk menyelesaikannya cuma kita kena cari apakah jalannya. Jangan pernah berhenti bersabar, berdoa, tawakal dan berusaha. Kerana Allah pasti akan sentiasa bersama dengan orang yang tidak melupakanNya.
Kata orang, doa orang-orang yang teraniaya akan dimakbulkan Allah. Doa saya cuma terisi yang baik-baik saja. Memohon orang yang menganiaya saya diberikan keinsafan dan kesedaran. Memohon perlindungan dan ketabahan hati yang berterusan hingga hujung nafas saya. Memohon semoga satu hari nanti akan ada perubahan dalam hidup yang memungkinkan saya boleh tersenyum bahagia seperti insan lain.
Kata saya? Saya sudah tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Perkongsian saya hanya bersama dengan anak di dalam kandungan. Semoga dia dijadikan Allah sebagai anak yang sentiasa membahagiakan. Baby, tolong mummy....
0 comments:
Post a Comment