Nuffnang Ads

Tuesday, September 6, 2011

Kehilangan Abadi I

Bukan mudah sebenarnya untuk menerima sebuah kehilangan. Kehilangan kekal. Kehilangan abadi. Kehilangan yang ditangisi. Ini bukan patah yang akan tumbuh. Hilangnya juga takkan berganti. Sehingga hari ini saya masih menangisi kehilangan itu.

Masih ingatkan cerita saya tentang Dugaan & Sahabat? Sahabat yang saya sanjung kerana dia adalah sebenar-benar sahabat. Sahabat yang tak pernah bosan dan jemu untuk sentiasa berada di sisi saya. Walaupun dia jauh di Penang dan saya di Kuala Lumpur.

Tarikh 28 Ogos 2011 tak akan saya lupakan. Seawal 6.00 pagi saya menerima panggilan daripada kawan baik saya Know. Memaklumkan satu berita yang cukup mengubah kehidupan saya. Berita yang cukup membuatkan jantung saya serasa akan berhenti. Berita yang segera membuatkan air mata saya tumpah. Saya kehilangan dia. Saya kehilangan dia untuk selama-lamanya. Suara saya sudah cukup mengejutkan lena Sayang. Terpinga-pinga, terkejut dan terpana dengan apa yang baru saja didengar.

Terlalu banyak kalau nak saya huraikan di sini. Cerita yang berlaku. Apa yang terjadi. Tapi saya sudah tidak mampu untuk mengulang cerita. Berita kemalangan beliau jelas terpampang di beberapa suratkhabar. Kerana sayang dan tidak mahu ralat, saya jejak pemergian beliau ke Penang. Perjalanan sepanjang hari bagaikan tak terasa. Tiada rasa penat dan letih. Keadaan saya agak bingung dan macam tak percaya. Saya cuma mampu termenung dan kadang-kadang menangis di sepanjang perjalanan. Mujur dia memahami dan sentiasa memujuk.

Saya tak tahu bagaimana rasanya bila dia tiada lagi. Tiada dan pergi untuk selama-lamanya. Masih terbayang-bayang di mata saya saat jasadnya disemadikan. Lemah rasanya diri ini mengenangkan saya sudah kehilangan dia. Air mata yang mengalir waktu itu memang tak mampu saya tahan. Membayangkan dia pergi membawa 1001 rahsia dan kisah hidup saya. Apa lagi mengenangkan tarikh pemergian dia adalah tarikh genap 3 bulan hari pernikahan dia dan suami. Dalam kepayahan yang saya sendiri tak tahu bila akan hilang, saya terpaksa merelakan segalanya. Semoga dia ditempatkan dikalangan orang yang solehah. Amin~

0 comments: