Nuffnang Ads

Thursday, September 29, 2011

Berubahlah Sebelum Terlambat


Hidup ini adalah satu perjalanan. Tiada jalan yang selamanya lurus dan tidak berpenghalang. Ada yang berbatu, berlopak, bengkang-bengkok dan macam-macam lagi. Apa yang harus kita tempuh sepanjang perjalanan? Bagaimana kita menempuhi perjalanan tersebut?

Kadang-kadang bila Allah berikan kita jalan yang lurus dan sempurna sedikit kita terlalu mudah terleka dan alpa. Mudah hanyut dengan nikmat yang diberikan Dia. Perasaan bongkak dan takbur mula merajai hati dan mula rasa seolah-olah diri sudah terlalu bagus. Baru saja dikurniakan sedikit nikmat kita sudah lupa diri dan melupakan waktu susah payah. Lupa asal usul. Lupa orang yang sentiasa bersama waktu kita terjatuh dan tersungkur.

Bila berduit sikit diri sudah mula terasa bagaikan dunia ini kita yang punya. Pantas saja mengambil kesempatan dengan peluang yang ada. Hidup sudah tenang dan aman tiada masalah tapi masih mahu mencari masalah. Bila sudah terjatuh mulalah menggelabah. Bila diri sudah terperangkap otak ligat mencari helah untuk menyelamatkan diri. Tapi Allah itu kan Maha Adil. Tiada sebarang kejahatan yang boleh terlindung daripada pengetahuanNya. Tiada sebarang ketidakjujuran yang akan terselamat daripada menerima balasan daripadaNya.

Tapi itu pun kita masih tidak sedar. Masih tak bersyukur. Masih nak buat hal. Insaf, bertaubat dan berubahlah sebelum terlambat.

Sabarlah Hati


Kata kawan saya, ujian daripada Allah datang kadang-kadang untuk mengingatkan kita padaNya. Supaya kita sedar dan kembali ke jalanNya. Agar kita sentiasa mengingatiNya. Mungkin ada waktunya kita terleka seketika dengan dunia. Mungkin juga kita hanya mencariNya bila kita susah dan bersedih tapi melupakanNya bila kita suka dan gembira.

Kata kawan saya, banyakkanlah bersabar dalam menempuh segala ujian tersebut. Apa saja ujian yang diberikan pada kita adalah mengikut kemampuan kita. Allah takkan menguji kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu. Andainya Allah percaya yang kita boleh dan mampu melalui, menempuhi dan menyelesaikannya, kenapa tidak kita percaya pada diri sendiri yang kita juga boleh?

Kata kawan saya, Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Allah sentiasa bersama dengan orang yang selalu mengingatiNya. Lupakan masalah saya sekejap dan kembalilah padaNya. Cubalah mengingati dan bersama denganNya sebentar. Mohonlah petunjuk, hidayah dan jalan penyelesaian untuk segala permasalahan.

Kata emak, dugaan dan ujian itu umpama penyakit. Dalam Al-Quran sudah tertulis setiap penyakit itu ada ubatnya. Begitu juga dengan dugaan dan ujian. Pasti ada cara untuk menyelesaikannya cuma kita kena cari apakah jalannya. Jangan pernah berhenti bersabar, berdoa, tawakal dan berusaha. Kerana Allah pasti akan sentiasa bersama dengan orang yang tidak melupakanNya.

Kata orang, doa orang-orang yang teraniaya akan dimakbulkan Allah. Doa saya cuma terisi yang baik-baik saja. Memohon orang yang menganiaya saya diberikan keinsafan dan kesedaran. Memohon perlindungan dan ketabahan hati yang berterusan hingga hujung nafas saya. Memohon semoga satu hari nanti akan ada perubahan dalam hidup yang memungkinkan saya boleh tersenyum bahagia seperti insan lain.

Kata saya? Saya sudah tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Perkongsian saya hanya bersama dengan anak di dalam kandungan. Semoga dia dijadikan Allah sebagai anak yang sentiasa membahagiakan. Baby, tolong mummy....

Wednesday, September 28, 2011

Sia-Sia & Useless


Pernah tak kita terasa sia-sia selepas berpenat lelah dan berhempas pulas melakukan sesuatu? Rasa macam not worth it. Rasa macam useless. Rasa macam sangat SIA-SIA.

Tak kisahlah kita ikhlas atau tidak buat sesuatu benda tu. Orang kata kalau ikhlas mesti kita akan redha dan rela kalau hasilnya tak seperti yang kita harapkan. Amboi senangnya berkata-kata. Kalau setakat cubaan menanam pokok pelam tapi mati sebab tanah tak baja tak apa lagi kot. Atau mungkin cubaan menguruskan badan tapi masih macam Doraemon. Itu pun tak apa lagi rasanya.

Tapi macam mana kalau masuk bab pengorbanan? Pengorbanan daripada segala segi dan sudut. Pengorbanan yang tak mengira waktu, tempat dan keadaan. Sudahnya pengorbanan tu jangan kata nak dihargai tapi dipandang pun tidak. Apa rasanya? Betul kan rasa macam SIA-SIA? Dan rasa macam useless gila berkorban untuk manusia fake macam tu.

Selalunya orang yang tak menghargai pengorbanan orang lain ni boleh jatuh dalam kategori orang yang tidak tahu bersyukur. Itu yang pertama sekali. Kemudian boleh jadi orang yang tak kenang budi pun boleh jugak. Lepas tu jadi orang yang tak tahu diuntung. Dan dalam sesetengah hal boleh jadi kufur nikmat. That's the best words for those yang hidupnya seperti nak menongkat langit. Berlagak, ego dan bodoh sombong.

Dia ingat Allah akan sentiasa bagi kita rezeki ke? Kalau kita tak hargai apa yang kita ada hari ni, bila-bila masa je Allah akan tarik balik. Tak payahlah nak rasa stabil sangat. Sentiasalah beringat akan kewujudan Dia dan Kun Fayakun.

Saya Betul-Betul Dah Letih


Tiada kata atau ungkapan mahupun perkataan yang mampu untuk membayangkan betapa letih dan penatnya hati ini. Terlalu penat. Tapi siapalah yang tahu dan faham?

Sedari tahun 2007 saya diuji dengan macam-macam dugaan. Malah sehingga hari ini. Entah apa silap saya di masa lalu agaknya sehinggakan ujian bertalu-talu mengetuk pintu kehidupan saya. Tahun 2009 - 2010 adalah tahun terhebat untuk sesi ujian dalam hidup Nor Fazlina. Andainya sabar tidak saya jadikan batasan dalam meniti kehidupan ini, sudah tentu telah lama saya tewas dan terjatuh walaupun hakikatnya sudah tersungkur entah berapa kali.

Tahun 2011 saya harapkan akan ada sinar yang menyinari segenap perjalanan yang saya lalui. Tapi malangnya keadaan lebih teruk lagi. Sungguh ini adalah satu kesilapan dalam hidup saya. Kesilapan yang menjerat atas sikap pura-pura insan lain. Berlakon untuk mendapatkan apa yang dihajati hingga akhirnya saya yang menjadi mangsa sehingga ke hari ini. Tiada perubahan seperti yang dikatakan. Tiada kebaikan walau sebesar hama sekalipun.

Saya hanya punya baby di dalam kandungan. Kuat dan tabahnya saya kerana dia. Memberikan saya 1001 kekuatan untuk terus berdiri walaupun langkah saya semakin goyah. Ya Allah, bilakah ujianMu ini akan berakhir? Dan kenapa ujianMu semuanya benda yang sama daripada dulu hingga kini? Tiada langsungkah perubahan yang dapat Kau titipkan dalam kehidupan ku?

Tak Mungkin

Jiwa saya seakan meronta-ronta nak buat entry pasal satu telefilem ni. Daripada minggu lepas lagi. Heee saya memang suka komen-komen cerita ni. Jap lagi keluarlah ayat tak puas hati ke apa. Eh itu pun berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pemantauan okay.

Demi Tuhan, Ku Izinkan. Itu telefilem yang saya tengok kat Astro. Dah dua kali saya tengok cerita tu. Mengisahkan seorang perempuan yang berkorban jiwa dan perasaan membenarkan si suami berkahwin lain selepas dilamar oleh madunya sendiri demi untuk mencari pelindung yang boleh membimbingnya ke jalan Allah selepas memeluk agama Islam. Kau rasa kau kuat tak nak jadi macam tu?

Demi Tuhan juga, saya tak mampu. Saya tidak sekuat itu. Saya tidak setabah itu untuk merelakan sebuah perkongsian. Saya bukan gangster yang sudi berkongsi kasih macam Bini-Biniku Gangster. Ehhh?

Jangan kata berkahwin, barang berkawan rapat pun tidak saya relakan. Apa lagi bercinta sampai bersms bermadu kasih berdrama swasta berasmaradana. Demi Tuhan, Aku Tak Izinkan. Saya tidak sesempurna itu untuk menjadi wanita yang tabah hatinya untuk isu ini. Saya tak pernah rela dan tak akan rela. Tak mungkin. Tak perlu berikan saya hujah dan dalil tentang hidup bermadu. Tak perlu nyatakan segala hukum dan fatwa hanya untuk menyedarkan dan membuatkan saya faham. Terima kasih saja.

Lelaki, kenapa susah sangat nak faham? Andainya aku punya khilaf dalam kesempitan waktu ketika bersamamu, tegur dan bimbinglah aku. Jangan kau menjadikan itu alasan untuk kau berpaling dari diri ini hanya untuk menurut nafsumu dan menghiburkan hati yang tak pernah puas. Apa lagi yang masih belum cukup di matamu? Apa lagi yang masih kurang di hatimu? Apa salah dan dosa aku sebagai isteri untuk menjadi mangsa kepada sikap dan keegoanmu?

Tuesday, September 27, 2011

Anak Sendiri Pun Nak Makan?

Tengok tak drama Soffiya yang baru je 3 episod kat tv3? Dari hari pertama saya tak miss lagi tengok sampailah semalam. Hari ni pun harap-harap boleh tengok full sebab isu perebutan hak remote Astro sering berlaku kalau dia ada di rumah.

Sambil tengok drama tu semalam mulut saya tak berhenti-henti membebel. Macam-macam soalan yang keluar dari mulut saya. Semuanya berbaur tidak puas hati belaka. Dia cuma dengar dan diam. Malas nak layan kan? Duh~

1. Syg,i tak fahamlah apa perasaan seorang bapak yang sampai hati nak rogol anak dia sendiri? Masa nak buat tu dia tak rasa pape ke? Anak sendiri tau tak!

2. Dia tau kan itu anak dia sendiri? Darah daging yang dia usahakan sendiri. (okay tu ayat-ayat bahasa pasar ye)

3. Dia tak sayang ke kat anak dia? Masa lahir tu dia happy-happy je sebab dapat baby. Then dia sendiri yang azankan kat telinga anak tu. Kecik-kecik main sama-sama, hantar pegi sekolah tapi bila besar sedap-sedap je dia nak rogol!

4. Bla bla bla bla bla bla. (sudahnya bila saya tengok sebelah, mata dia dah pejam..tidur? heee!)

Kenapa eh? Kenapa nafsu yang satu tu kalah dengan akal yang sembilan? Lebih baik lagi sembilan nafsu dan satu akal. Sekurang-kurangnya sembilan nafsu tu mungkin hanya pada sesuatu yang boleh kita panggil lumrah seorang perempuan contohnya shopping. Tapi tak tergamak pulak lah kita ni nak rogol anak sendiri kan? Kenapa tergamak? Kenapa sampai hati? Cuba kalau orang rogol dia pulak? Agak-agak dia suka tak? Ehhh? 

Raya Dah Nak Habis

Raya dah nak habis. Sumpah sedih. Rasa macam kejap je masa berjalan. Entah panjang atau tidak umur kita untuk merasa lagi nikmat Ramadhan dan Syawal untuk tahun-tahun akan datang. Kenapa touching sangat? Macam-macam lah.

1. Saya tak merasa 1 Ramadhan yang pertama sebagai isteri bersama dengan suami. Kerana waktu itu dia di Sabah. Sadis tak tahu nak cakap. Sudahnya dia balik terus suspek demam denggi. Daulat tinggal isteri jauh-jauh. Heeee~ Lagi menyedihkan bila Ramadhan pertama itu cuma saya rasa beberapa hari saja bersama dia. Lebih separuh bulan agaknya saya berbuka dan bersahur sendirian. Macam tu jugak dengan bulan Syawal. Boleh kata hari minggu saja saya bersama dengan dia. Selebihnya? Konon busy macam PM la tu~

2. Persiapan raya buat sorang-sorang je. Baju sendiri beli sendiri. Baju suami pun beli sendiri. Oleh saya bukan oleh dia. Sadis sungguh rasa bila kaedahnya raya pertama berdua kena shopping raya sorang-sorang. Suka hati saya lah nak belikan dia baju apa pun. Sebab seminggu sebelum raya dia ada kat Sarawak & Sabah. 3 hari nak raya baru balik KL. Stress? Tiang sebelah saya ni dah pecah 8 kena karate hari-hari. Belum kira yang tobek-tobek sebab kena hantuk dengan kepala.

3. Raya berdua + 1/2. Sebab yang lagi setengah dalam perut. Membuatkan saya kena sound di hari raya yang pertama sebab baju kurung tu macam ketat di bahagian perut. Dan senteng sebab pinggang kain dah nak sampai dada. Bukan salah saya kalau baju tu ketat. Saya beli ikut saiz biasa iaitu M. (buat-buat lupa yang saya tengah mengandung dan perut makin besar)

4. Saya dah tak jadi driver di hari raya. Yang ini paling nikmat hikmat bukan mee ruski. Sejak saya ada lesen dan ada kereta itulah kerja saya sepanjang tahun. Jadi driver tak berbayar kepada mak abah, adik-adik mahupun anak buah. Tapi sejak saya ada dia, tak payah cerita banyak. Yahoo.com! Seronoknya jalan-jalan dok sebelah je sambil usap perut yang kenyang makan ketupat.

5. Sahabat baik saya pergi dua hari sebelum Syawal menjelang. Dalam keseronokan kami berdua untuk beraya pertama kali dengan suami tersayang rupanya hasrat dia tak kesampaian. Begitu juga dengan makcik saya yang meninggal dunia sehari sebelum raya. Al-Fatihah untuk mereka.

Ada lagi kesedihan, kesayuan, kepiluan, kekesalan di dalam hati tapi tak perlulah saya sebut kat sini. Sudah takdir hidup saya takkan merasa semua itu. Berdoa sajalah pada Dia semoga satu hari nanti saya akan berpeluang untuk berhari raya di rumah lain. Ehem~

Selamat babai Hari Raya. Jumpa lagi tahun depan. Semoga kita semua dipanjangkan usia. InsyaAllah.

Nak Jimat Saja

Sejak duduk kat rumah sendiri saya jadi terlalu berkira tentang isu jimat. Semuanya kena jimat. Apa saja kena jimat. Selagi barang tak habis tak payah beli kecuali benda yang cepat habis jadi kena standby je. Selagi ada kita pakai. Selagi boleh guna kita guna. Jimat kan kan kan?

Kalau duduk kat kampung mesti boleh lagi jimat lagi-lagi kampung saya tu. Bukannya sebab nanti boleh harapkan mak dan abah je. Tapi memang boleh jimat serba serbi. Contohnya barang-barang dapur macam sayur-sayuran. Abah saya dijadikan Dia sebagai orang yang tak reti nak duduk diam. Mak pun lebih kurang macam tu jugak. Kenapa saya cakap macam tu?

Nak daun limau purut, petik je tepi rumah. Nak daun pandan, ada kat belakang rumah. Nak pokok serai, pun ada kat tepi parit tu. Nak daun kari, ada kat depan rumah tepi pokok pelam. Nak daun kesum, pun ada kat belakang rumah tepi tempat sidai baju. Nak limau kasturi, tinggal petik je kat tepi bilik saya. Haaa jimat kan kan kan? Lagi best dulu abah pernah berjaya tanam pokok epal hijau. Saya tengok sendiri buah epal tu tapi malangnya tak sempat nak rasa. Pokok pelam? Sampai rasa macam dah takde perasaan bila tengok pokok-pokok yang penuh kat keliling rumah, tepi rumah, depan rumah tu.

Seronoknya kalau boleh macam tu kalau duduk kat apartment kos rendah ni. Tapi kat mana saya nak tanam semua-semua tu? Makanya tempat yang sesuai untuk bercucuk tanam adalah Giant, Tesco, Fresh Mart, pasar malam, pasar basah blablablabla. Bercucuk tanam duit. Sayur-sayur~

Doraemon Mengandung

Semalam pertama kali dalam seumur hidup saya pakai baju mengandung. Baju yang mak dan abah belikan untuk saya. Rasa best sebab takde lagi masalah ketat di perut dan tak selesa di mana-mana.

Tapi.. Tapi.. Tapi.. Saya rasa seperti..

-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-


Doraemon yang pakai baju mengandung..!!

Apa pun semuanya adalah pengalaman yang tak boleh dijual beli. Syukur pada Allah.

Monday, September 26, 2011

Bersangka Baik


"Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, "sekarang!" Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, "bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil." Dengan berkata demikian kita telah 'membunuh' potensi hari ini.
Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah S.A.W, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!
Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah 'resipi' yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!"
Kredit to www.iluvislam.com
Komen saya? Nak sangat komen tapi takut jadi panjang lebar pulak. Simpan jelah dulu komen-komen saya tu. Heee~

Rasa Nak Marahhhhh

Selalunya orang kata sekali dalam sebulan tu perempuan mesti moody. Kalau nampak perempuan tu nak marah, sedih, takde mood je orang mesti cakap 'tengah period la tu..'. Habis tu kalau perempuan mengandung macam mana pulak?

Hari ni saya memang rasa macam nak marah je. Saya tak tahu nak marah kat siapa. Sedaya upaya saya cuba mengawal emosi bila ada kawan ofis yang bertanyakan itu ini. Saya cuba! Saya rimas keadaan macam ni. Seperti ada sesuatu yang tak kena rasanya. Bila dah terlalu tension lepas tu tak boleh nak lepas geram tu faham-faham jelah apa yang jadi. Cepat-cepat cari tisu dalam laci.

Daripada pagi tadi otak dan fikiran saya ligat memikirkan sesuatu. Andaian, anggapan, teori dan kesimpulan bercampur baur di setiap penjuru pemikiran saya. Bila dah terlalu berfikir ni mulalah rasa risau, tak tenang dan susah hati. Sikit-sikit semua tu mula mengganggu emosi dan amarah saya yang jadi macam gunung berapi. Mudah sangat saya nak baling printer ni kat orang rasanya.

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

Rindu Seorang Sahabat II


Kadang-kadang saya melalui hari-hari saya seperti biasa. Tiada ingatan dan tiada kesedihan. Tidak teringat bukan maknanya saya lupa cuma tidak mahu hati sedih sentiasa mengekori perjalanan saya. Saya rindukan dia. Hari ini serasa mahu menjerit dan memanggil namanya. Dengarkah dia akan suara hati saya?

Hampir sebulan saya cuba membiasakan diri tanpa dia. Segala perasaan saya kuburkan di dalam hati. Tiada hala tuju untuk saya luahkan. Tiada tempat untuk saya berkongsi. Saat ini saya benar-benar perlukan dia. Saya perlukan dia untuk mendengar segala keraguan hati. Saya perlukan dia untuk mengurangkan segala syak wasangka. Saya perlukan dia untuk memujuk saat saya menangis tidak percaya. Saya perlukan dia untuk mengubati hati yang penuh rasa cemburu.

Berdosakah saya kerana masih meratapi sebuah kehilangan abadi? Kehilangan yang benar-benar membuatkan saya hilang di dalam dunia sendiri. Saya sudah tidak mampu untuk meluah. Saya sudah tidak mampu untuk berkisah. Saya benar-benar memerlukan dia. Saya benar-benar rindukan dia saat ini.

Thursday, September 22, 2011

Pindah Pindah Pindah

Tinggal sebulan je lagi saya akan bekerja di sini. Kalau ikutkan dateline yang disebut dalam mesyuarat semalam memang tak sampai sebulan. Tapi seandainya ada aktiviti atau rancangan yang boleh mengubah tarikh tu mungkin akan ditangguh tapi pindah tetap pindah. Hampir 3 tahun saya berkhidmat di sini, di bangunan ini dan di jabatan ini. Memang sayang nak tinggalkan sebab segala-galanya bermula di sini. Segala yang pertama semuanya di sini.

Banyak yang perlu difikirkan bila keputusan berpindah tu dimuktamadkan. Difikirkan oleh saya lah. Oleh orang lain saya tak tahu macam mana. Hal rumah, kenderaan, kos itu ini dan sebagainya. Saya baru saja nak bernafas di rumah baru tiba-tiba dah kena pindah pejabat. Kalau ikutkan keadaan sekarang ni dah cukup menyelesakan saya dah. Pejabat kitorang satu hala, nak ke Shah Alam dekat, nak ke Kuala Lumpur pun dekat. Tapi bila dah pindah pejabat ni timbullah beberapa masalah yang saya sendiri tak tahu macam mana nak selesaikan.

Kalau saya bukan di dalam keadaan pregnant mungkin masalah tu tak terlalu mengganggu. Saya tak kisah pun nak ulang alik KL - Putrajaya tu. Tapi dalam keadaan sekarang dan akan datang nanti macam mana? Terdayakah saya yang ala-ala lembik ni nak berulang hari-hari bila kandungan dah semakin sarat. Bukan masalah tenaga saja tapi soal keselamatan saya kena fikirkan jugak. Kalau tiba-tiba sakit kat tengah jalan macam mana pulak? Tambah pulak dia kerap outstation. Itu yang buat saya rasa susah hati sangat. Tapi kalau saya dapat kuarters pulak masalah lain pun ada. Habislah elaun saya kena potong dan sudahnya nanti baki gaji saya adalah tinggal dalam seposen dua. Kalau dia outstation pun masalah jugak sebab rumah jauh dengan KL. Saya jugak yang nak hantar dan ambil dia nanti. Haihhh macam-macam.

Tiba-tiba saya rasa macam tengah cakap sorang-sorang dengan PC saya ni je gayanya.

Saya Tak Happy Pun..


Saya tak gembira. Saya tak happy. Saya tak ceria. Hari ini itu yang saya rasa. Sejak malam tadi. Hati kecil saya menjadi terlalu kecil. Semakin lama semakin kecil. Tak payahlah cari hati saya sebab memang tak nampak sebab dah jadi kecil sangat.

Bila hati saya dah kecil nanti mata saya pun jadi semakin kecil. Terlalu kecil untuk menampung empangan air terjun yang mudah sangat pecah. Yang bila-bila masa je boleh menumbangkan pokok-pokok dan menghanyutkan tumbuh-tumbuhan yang ada kat tepi air terjun tu. Rasa macam nak langgar semua benda biar jadi padang jarak padang tekukur. Lepas tu jadi negeri Pasir 2 Butir.

Dinginnya cuaca di Kuala Lumpur waktu ini. Dingin lagi aircond di pejabat saya. Tapi masih tak mampu nak melawan kedinginan hati yang saya rasakan sejak semalam lagi. Akhirnya berlarutan sehingga kini. Saya cuba untuk melawan kebekuan hati dengan mencari idea untuk dijadikan entry. Konon-konon menyibukkan diri. Telefon pun saya pandang sepi kerana begitu benci rasanya waktu ini. Biarlah mereka terasa sendiri apa yang saya mahukan. Wajar atau tidak saya mahukan perhatian. Berbaloi atau tidak saya dilontarkan soalan-soalan yang akhirnya membuatkan saya cuma berdiam. Hilang sudah perasaan teruja. Kerana kadang-kadang saya rasakan seperti hanya bertepuk sebelah tangan.

Benar kata gambar ini. Kegembiraan seperti minyak wangi yang tidak boleh kita sebarkan kecuali kita sendiri yang memakainya dulu. Justeru itu tiada kegembiraan yang dapat saya kongsikan bilamana hati saya sendiri berada di dalam kesedihan.

Saya takde mood lah..~

Menangis Tak Semestinya Lemah


'Sikit-sikit nak nangis. Sikit-sikit nak nangis.' Bohonglah kalau kita tak pernah dengar ayat tu. Lagi-lagi untuk orang yang berjiwa halus, sensitif dan lembut. Mudah sangat tersentuh hatinya. Cepat sangat berkecil hati walau dengan perkara yang remeh. Dahlah kawan tengah sedih kan lepas tu ada pulak orang yang tak peka dan tak sensitif ni sound macam tu. Rasa-rasanya makin berhenti menangis ke atau makin kuat dia melalak? Heee~

Menangis selalu bukan bermakna kita lemah. Bukan bermakna kita mudah kalah. Bukan juga bermakna kita ni terlalu cepat mengalah. Cuma kadang-kadang menangis tu perlu untuk melegakan hati yang tengah susah. Orang yang tak pernah dan susah menangis bukan bermakna dia tu seorang yang tabah dan kuat secara total. Cuma mungkin dia bijak untuk mengawal perasaan. Atau kadang-kadang disebabkan ego yang tinggi pun boleh jadi juga kan.

Kalau nak senang faham lagi baca je ayat kat gambar tu. Orang yang kuat tak semestinya orang yang tak menangis. Tapi orang yang kuat adalah orang yang berjaya bangkit untuk maju selepas terjatuh dan menangis. Maknanya tak salah kalau sesekali kita menangis mengenangkan kesilapan dan kegagalan. Itu tandanya kita menghargai setiap detik kejatuhan dan tersungkurnya kita dalam kehidupan. Menjadikan setiap titis air mata, kelemahan dan kegagalan sebagai titik tolak dan batu loncatan untuk bangun dan memperbaiki segala kesilapan. Fight it back~

Dunia Sekarang

 

              
    
An innocent Palestinian boy watches his mother die right in front of his. She was killed by Israeli troops.

Walaupun negara kita sibuk dengan masalah politik sana sini. Sana cakap macam ni. Sini cakap macam ni. Fitnah dan tuduhan tak pernah berhenti. Rasuah dan penyelewengan ceritanya tak pernah basi.

Tapi kita kena bersyukur sebab negara kita tak mengalami keadaan sebegini. Tiada peperangan, tiada kereta kebal berjalan ke sana sini, tiada tentera membawa senapang mundar mandir di hadapan rumah, tiada mayat bergelimpangan dan darah bertaburan di tepi jalan.

Tapi ada juga yang masih tak menghargai nyawa dan kehidupan sendiri apa lagi kehidupan orang lain. Zaman sekarang ni nyawa manusia terlalu murah harganya. Mudah sangat nak diambil oleh orang yang tak punya akal fikiran. Suka-suka hati nak bunuh, rompak, samun, rogol dan lain-lain. Nyawa dan kehidupan manusia seolah-olah berada di tangan manusia sendiri. 
    
Dunia sekarang.

Jangan Marah-Marah


Orang kata bila kita bergaduh dan tengah marah mulut kita akan bercakap apa saja. Sebab masa tu kewarasan akal tidak berapa menyebelahi fikiran kita. Bercakap ikut suka, ikut sedap mulut dan ikut perasaan. Yelah tengah marah katakan.

Tapi bila marah kita dah reda selalunya masa tu baru kita berfikir balik apa yang dah terkeluar daripada mulut kita. Kesannya pada diri kita dan orang lain juga. Kalau sesuatu yang baik takpe juga kan. Tapi kalau dah kata tengah marah ada ke kita keluarkan perkataan atau ayat yang baik-baik belaka? Sudah pastinya ayat-ayat yang menyakitkan hati dan mengguris jiwa dan akhirnya lara. Wahhh~

Bila saya jumpa gambar kat atas ni pun buat saya berfikir balik. Selama ni kalau saya tengah marah atau pun bila tengah dalam keadaan emosi menguasai diri memang mulut ni akan jadi macam ....... Macam apa eh? Gambar ni jugak macam tak selari dengan apa yang kita semua selalu cakap bila tengok orang atau bila diri sendiri tengah marah. 'Alahh orang tengah marah memanglah cakap yang bukan-bukan. Dalam hati sebenarnya takde niat pun.' Kan? Kan? Kan?

Tapi bila baca ayat dalam gambar tu saya jadi macam 'eh alamak'. Cuba kita fikir, ingat dan renung balik apa yang pernah kita cakap bila kita tengah marah sebelum-sebelum ni. Cakap pulak memang benda yang sangat-sangat menyakitkan hati, menyedihkan hati dan memilukan hati. Haa macam takut je kan? Tu kalau kita yang cakap. Kalau orang terdekat ke, orang yang kita sayang ke yang cakap? Takut tak? Takut tak? Takut tak?

Moralnya sekarang ni kita kena banyakkan beristighfar bila tengah marah. Cuba kawal diri sedaya upaya. Kawal mulut sebaik mungkin. Peringatan untuk diri sendiri juga. Heee~

Nice To Share

Wednesday, September 21, 2011

Gemokkkkk


Semalam hari untuk semua kakitangan jabatan saya makan. Makan banyak-banyak sampai bosan. Semalam jamuan Hari Raya untuk seluruh jabatan saya. Dah takde lagi buat ikut bahagian macam tahun-tahun sebelum ni. Tak tahulah kenapa. Buat sekali je jadi makan pun sekali jelah. Frust tapi sikit je.

Oleh kerana saya suka makan sejak kebelakangan ni maka tumbesaran saya begitu sihat dan berkhasiat sekali nampaknya. Memang terasa sangat perkembangan sesetengah anggota tubuh badan saya ini. Apa lagi bila sorang-sorang dok tegur saya nampak gemuk, besar dan kembang. Eh eh eh rasa macam nak menyorok kat bawah meja.

Ni baru nak masuk 6 bulan. Kalau dah 7, 8 , 9 macam mana? Aduhaiiii entah kenapa saya jadi risau sangat. Mungkin sebab takde pengalaman. Pertama kali rasa berat macam ni. Sekarang ni hampir semua baju kurung saya dah ketat dan menyesakkan perut di bahagian pinggang. Panik okay. Tapi jadi best jap bila tiba-tiba mak buat suprise kasik baju pregnant 2 helai minggu lepas. Baru je mengadu sedih dengan dia hari tu rupa-rupanya mak kesian jugak kat saya. Adik siap pesan 'mak cakap kat Kak Nor baju-baju tu buat hadiah birthday tau'. Ehh boleh pulak macam tu. Takpelah, terima kasih mak, abah dan adik.

Takde lagi yahoo.com bila tengok diri sendiri kat cermin. Sob sob~

Warna Warni



Kita cuci mata jap eh. Dah banyak sangat entry saya yang sekadar tulisan. Malas sungguh rasanya nak buh gambar sana sini.  Huhuhu. Cuba bayangkan kalau kat negara kita ada musim macam ni. Aihhh ramailah orang yang dating kat taman daripada dating tengok wayang.

Diam-Diam Sudah

Apa sebenarnya motif saya post entry yang sebelum ni? Kesinambungannya adalah kalau setakat baru berkawan atau bercinta tak perlulah diwar-warkan sangat. Tak perlulah dikecohkan satu dunia. Sebab itu seolah-olah menunjukkan yang kita ni macam takut sangat kehilangan dia. Nak semua orang tahulah kan supaya orang tak kacau buah hati kita tu. Tapi untuk yang masih belum punya ikatan tu, macam tak sesuai je.

Lagipun nanti kalaulah jodoh tu tak menyebelahi kita, kesannya akan berbalik pada kita jugak. Kita jugak yang malu nanti. Beria-ria canang sana sini. Gaya pulak macam dah kahwin je. Tapi sudahnya tak kesampaian. Akan datanglah macam-macam tohmahan, kejian, dan kutukan daripada orang sekeliling pada diri kita. Akhirnya awak sendiri yang frust.

Macam ada pengalaman? Sebab ada pengalaman lah saya tertarik nak bercerita tentang ini. Walaupun dah ada satu ikatan tapi itu semua masih belum menjamin apa-apa. Sedangkan yang dah kahwin pun belum tentu panjang jodohnya, apa lagi yang setakat berkawan, bercinta dan bertunang. Lumrah perempuan memang lebih emosi dan teruja dalam satu-satu perhubungan. Dia akan rasa bukan orang tu je dia punya tapi dengan dunia-dunia ni pun macam dia yang punya. Tapi bila dah jadi macam ni, diri sendiri jugak yang kecewa. Apa yang tinggal cuma dendam yang entah bila akan terpadam. Walaupun dia melutut menyembah minta maaf sekalipun belum tentu kemaafan tu boleh diberikan macam tu je.

Beria-ria salah. Tak beria-ria pun salah. Habis tu? Diam-diam sudah.

Tuesday, September 20, 2011

Blog Sana Blog Sini

Saya bukan blogger yang aktif. Maksud saya suka tampal iklan ke, promote iklan ke atau rajin nak follow sana sini atau difollow orang. Saya menulis di sini ikut hati saya. Saya bercerita tentang apa saja. Kalau ada yang follow tu saya terima je. Terima kasihlah sebab sudi follow blog saya. Tapi kalau takde pun saya tak kisah sebab saya tahu lebih ramai yang lagi suka nak jadi silent reader. Macam saya jugak. :)

Tapi satu hari ni saya habiskan masa dengan membaca satu blog ni. Memang tak elok kot nak baca blog yang kutuk orang sana sini walaupun niat sebenar dia hanya untuk mendedahkan satu kebenaran. Itu pun kalau betul-betul kebenaran. Dia dan Allah jelah yang tahu. Kalau saya hint sikit je mesti orang akan tahu blog tu bercerita tentang siapa. Puncanya bila saya terbuka link website gosip dunia hiburan ni. Dia ada sebut pasal satu nama tapi takdelah bagi link blog tu. Then saya cari kat Yahoo dapat jumpa blog tu. Penat gak nak habiskan baca semua entry dia. Link blog? Haaa carilah sendiri. Huuuu~

Perlu ke saya bagitahu kat sini? Hmmm cukuplah kalau saya cakap blog tu cerita pasal kes putus tunang yang berlaku baru-baru ini. Kontroversi lah jugak kot. Owner kepada blog yang saya baca ni memang kutuk si perempuan gila-gila. Katanya dia cuma nak mendedahkan sikap sebenar si perempuan yang plastik dan hipokrit. Suka memfitnah, memburuk-burukkan dan mencaci maki. Kaki kikis dan lain-lain lagi. Dia jugak cakap tujuan dia buat pendedahan tu cuma untuk menyedarkan si perempuan supaya berubah, bertaubat, mengaku salah dan meminta maaf kepada orang-orang yang dia pernah fitnah dan maki dulu. Berbeza dengan si lelaki yang lebih banyak mendiamkan diri daripada bercerita tentang hal mereka. Bagus kat situ sebab dia tak nak panjang-panjangkan cerita dan tak nak buka aib orang katanya. Sifat lelaki kan? Suka tak nak panjang-panjangkan masalah. Yelah~

Bila kita baca tu rasa macam 'Errrr' 'Ishhh' 'Waaaa!' 'Erkkk?' 'Haaa?'. Haaa macam tu lah lebih kurang. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Pendedahan yang diberikan sama ada benar atau tidak memang agak membuatkan kita memberi 1001 persepsi kepada kedua-dua pihak. Bukan nak menilai tapi lepas saya baca tu saya pergi pulak jalan-jalan kat Twitter si perempuan. Baca pulak status Facebook dia yang owner blog tu printscreen. Macam-macam yang terlintas di fikiran saya selepas membaca di sana sini tadi. Apa yang saya dapat simpulkan hasil daripada penyiasatan saya tu ialah dia memang tak boleh nak terima kenyataan lagi. Masih bengang dan kecewa. Atas sebab apa hanya dia yang lebih tahu. 

Wallahu'alam.

Monday, September 19, 2011

Baby Joget-Joget

Pergerakan dia semakin dapat saya rasakan. Dalam hati saya memang tak berhenti bertanda tanya. Memang beginikah rasanya bila mengandung? Memang baby tak duduk diam ke? Memang baby asyik nak bergerak je ke?

Dia akan menjadi aktif bila saya selesai makan. Gayanya macam tengah berjoget-joget gembira sebab dapat makan banyak. Tak kira sama ada saya tengah baring, duduk atau berdiri tapi lebih kuat dirasakan bila tengah duduk atau baring. Saya pernah terkejut dengan sebenar-benar terkejut dek kerana tendangan kuat yang dia bagi lepas saya makan kat kenduri kahwin. Terkejut tu rasa macam kena sergah. Adoi! Kena tendang lagi! Haa kan saya dah cakap. Tiba-tiba je dia boleh tendang macam tu je.

Kawan kat ofis ada tanya baby saya okay ke tak. Dah rasa ke gerak-gerak? Saya cakap 'heee dia bukan gerak lagi dah tapi macam main futsal dalam perut'. Bayangkanlah sendiri macam mana aktifnya orang yang main futsal tu. Haa lebih kurang macam tu lah kot. Tak berhenti-henti dia bergerak. Tapi itulah kan. Saya macam ye tak ye je betul ke baby saya yang gerak ni. Ke cuma angin je tak? Tapi takkanlah angin sampai macam tu. Dush sana dush sini. Daddy dia teka nanti besar mesti jadi football player. A'ah kalau yang keluar tu bibird okaylah kan. Tapi kalau bunga? Tak nak saya. Kang jadi separuh perempuan separuh lelaki.

Dia ni main futsal ke tengah bersilat?

Kawan Sejati

"Utk dpt teman sejati: Jadilah org yg baik n kwn yg baik; sanggup korban, utamakan kwn drp diri, pendam perasaan utk jaga hati kwn, hebahkan yg baik n pendam yg buruk ttg kwn, doakan, maafkan n bantu kwn utk berjaya n berubah jadi positif. Inilah sifat kwn yg ibarat saudara dunia n akhirat. Jom usaha utk jadi kwn sejati. Wassalam."


Kenyataan di atas saya Copy and Paste daripada Facebook Dato' Dr. Hj Fadzilah Kamsah. Bila membacanya memang mudah tapi untuk mengamalkan sesuatu seperti di atas mesti kita rasa sangat susah. Lebih-lebih lagi nak jadi yang sanggup berkorban, yang sanggup mengutamakan kawan daripada diri sendiri dan yang nak membantu kawan untuk berjaya. Kalau setakat pendam perasaan, doa dan maafkan kawan tu masih mudah lagi rasanya.


Kenapa saya kata ianya tak mudah? Sebab tak ramai kawan yang jadi sebenar-benar kawan. Kawan yang ada semuanya telan kawan. Di belakang pura-pura, berlagak baik di depan. Semuanya palsu dan hipokrit. Pendam perasaan bukan untuk menjaga hati kawan tapi lebih kepada depan cakap lain, belakang cakap lain.


Saya mencuba untuk mencari sahabat seperti dia. Saya mencuba untuk bercerita dan meluah perasaan. Saya menanti dan memerhati apakah reaksi, respon dan nasihat yang saya terima. Berbeza memang berbeza. Tiada yang sama tiada yang serupa. Sekali pun sama tapi tidak serupa. Juga tiada. Seharusnya saya menerima bahawa lain manusia lain caranya. Tapi walaupun berbeza hati kecil ini masih belum mampu menerima dan menilai mereka mampu untuk menjadi seperti dia.


Sahabat saya semakin jauh

Cuti, Kenduri, Makan

Cuti 3 hari terasa kejap je berlalu. Rasa macam baru nak celik mata bangun tidur pagi Jumaat tapi rupa-rupanya dah hari Isnin. Kena pergi kerja. Itu saja rutin hidup kita hari-hari. Tak ada apa yang berubah. Bosan? Kadang-kadang.

Cuti Hari Malaysia lepas kita tak ke mana-mana pun sebab tak nak dan malas nak tempuh jem kat sana sini. Duk rumah dan tengok je sambutan tu kat TV. Ternampaklah jugak kelibat 2-3 orang kawan-kawan ofis saya yang tengah menari depan VVIP tu.

Minggu lepas mak ngan abah datang sebab ada kenduri kahwin kat Seksyen 8, Shah Alam. Kenalah ambik diorang kat Seksyen 13 sebab adik saya ada hal. Lepas kenduri kitorang bawak balik rumah, solat dan rehat jap lepas tu pergi open house rumah kawan saya kat Taman Medan. Malam tu kitorang tidur kat rumah kakak sebab tak larat nak ulang alik sana sini. Hari Sabtu lepas memang hari makan saja.

Mukadimahnya panjang sungguh tapi sebenarnya saya nak cerita saya masak apa je semalam. Heeee~ Saya masak Sotong Masak Kucai, Udang Kasturi dan Telur Dadar je. Udang Kasturi tu dah 2 kali saya buat dan rasanya memang sedap. Dia suka saya pun jadi sangat suka. Bukan puji diri sendiri sebab saya yang masak tapi rasa dia memang best. Masam-masam pedas tambah lagi dengan letak kacang peas dan bawang holland tu. Seronok kalau boleh share gambar tapi itulah kan. Handphone cap unta katakan.

Thursday, September 15, 2011

Peperangan

Peperangan adalah satu keadaan yang sangat kita elakkan. Satu situasi yang memang kita tak nak ianya berlaku. Sama ada untuk negara, kaum dan bangsa, rumahtangga apatah lagi dengan diri sendiri. 

Banyak yang boleh dimaksudkan dengan peperangan ni sebenarnya. Peperangan kebiasaannya memang akan mendatangkan kerosakan tak kira daripada segi apa pun. Harta benda, ekonomi, perasaan, emosi dan macam-macam lagilah.

Tapi dalam banyak-banyak peperangan dalam dunia ni saya rasa peperangan dengan diri sendiri adalah lebih menyakitkan sebenarnya. Peperangan yang lebih dahsyatttt. Lebih menghuru-harakan kehidupan dan masyarakatttttt. Berperang dengan emosi dan perasaan sendiri. Cuba untuk menenangkan hati yang penuh dengan kerisauan. Cuba untuk menenangkan diri yang serba serbi dilanda kekacauan. Sentiasa berusaha untuk melawan segala perasaan yang tidak elok yang ada dalam hati. Susah kan? Sebab kita sentiasa dibisikkan dengan hasutan syaitan. Sentiasa diuji dengan kelemahan iman. Sentiasa diduga dengan emosi dan perasaan yang selari dengan fikiran yang kurang waras. 

Sesungguhnya orang yang paling gagah perkasa adalah orang yang berjaya melawan kesunyian dalam dirinya. Semoga kita tidak gagal dalam peperangan.

Wednesday, September 14, 2011

Tetamu Rumah & Masak-Masak

Semalam rumah kita dikunjungi tetamu untuk beraya. Zam, Jehan dan baby dia, Alya Umairah. Wahhh ada jugak yang sudi nak datang rumah pondok saya. Selepas raya hari tu cuma family saya je yang datang rumah tu pun dapat makan kuih je. Tak sempat pun nak masak sebab masa tu ramai-ramai jalan beraya dari arah Keramat.

Dah on the way balik kerja tu saya suruh dia call Zam tanya jadi tak nak datang rumah. Dia siap tanya nak makan apa pulak dah. Adoiii siapa lagi yang panik kalau bukan saya kan? Serta merta otak berpusing fikir nak masak apa. Saya terus bawak kereta pergi Fresh Mart kat area rumah tu cari apa yang takde. Teruja masuk kedai tu sebab nampak banyak sangat ikan dan makanan laut yang lain. Tawaf kedai tu macam nak buat haji je gayanya. Saya bulat mata nampak udang, dia bulat perut nampak sotong. Semua jenis sotong dia nak.

Sampai rumah saya dah tak sempat nak duduk ke nak rehat ke apa. Terus keluarkan bahan-bahan mentah. Baru siap satu lauk diorang boleh dah sampai rumah pulak. Alamak kelam kabutlah saya. Akhirnya siap jugak masakan saya untuk tetamu dan anak kitorang tu. Saya cuma masak Paprik Campur, Kembung Masam Manis dan Sawi Masak Tumis. Macam nak tergolek rasanya dok tung tang tung tang sorang-sorang kat dapur. Tapi berbaloi bila diorang cakap sedap dan makan tambah nasi. Ikhlas ke tak agaknya diorang puji tu eh? Tambah lagi nak bagi saya senang hati sebelum tidur tu dia sempat cakap 'mummy masak paprik sedap..' Hinsh hinsh hinsh~

Dah siap makan, siap hisap rokok diorang pun balik. Terima kasih Zam & Jehan sebab sudi datang rumah kitorang. Sorry kalau ada yang terkurang, termasin dan tertawar.

Rindu Seorang Sahabat


Hari ni jiwa saya agak terjiwa-jiwa. Entah apa punya ayat tapi itulah yang saya rasa sejak semalam lagi sebenarnya. Rasa sedih, sayu dan pilu. Saya rasa sunyi bila setiap kali saya terkenangkan arwah An. Jarang saya nak menggunakan perkataan arwah kerana serasa saya seperti masih merasakan kewujudan dia lagi.

Perasaan ini timbul bila dia kata kena outstation lagi. Saya jadi blur dan kosong kerana tak tahu siapa yang saya mahu call untuk menghamburkan tangisan sedih. Saya rasa lost sangat malah sampai saat ini pun. Saya mahukan kata-kata pujukan daripada arwah seperti selalunya. Saya mahu dengar ketawa dan ejekan daripada dia bila mendengar saya menangis dan membebel-bebel tak boleh terima asyik kena tinggal. Saya rindukan kehadiran dia sebagai sahabat baik saya. Ya Allah~

Pedihnya perasaan bila kehilangan seseorang secara kekal. Perit dan sakitnya tak boleh saya nak gambarkan. Sungguh pertama kali saya berkeadaan sebegini hanya kerana seorang sahabat baik. Hilangnya dia secara abadi samalah dengan abadinya nama dia di dalam hati saya untuk selama-lamanya.

Daripada Isteri Untuk Suami

Memang dia comel. Tapi dia cuma seorang diri. Belon yang dipegang memang jelas dengan gambar bintang yang tersenyum. Tapi dia yang memegang dengan muka yang kesedihan. Berjalan sendirian mengharungi waktu tua yang juga sendirian. Bertongkat seorang diri tanpa ada yang memaut lengan yang sedia membantu andai dia terjatuh dan tersungkur.

Saya tak mahu begitu. Sungguh saya tak mahu sendirian. Saya mahu hidup saya sentiasa berteman kerana saya tahu hanya di sini saya boleh merasa segala itu. Kerana bila sudah di sana saya akan tinggal sendiri sementara menghitung waktu untuk dihitung dan ditentukan masih berjodohkah saya dengan dia andai di syurga lah tempatnya. Mudah-mudahan. Hampir 7 bulan usia pernikahan benar-benar mengajar saya erti kesabaran sebagai seorang perempuan, wanita & isteri.

"Sayang, terlalu banyak yang i lalui dan tempuhi selama hampir 2 tahun perkenalan dan perhubungan kita. Sayang sendiri tahu apa dan macam mana sakit, pedih dan peritnya dalam usaha i untuk bersabar menempuhi segala-galanya. I mahukan satu penghargaan, kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bahagi daripada Sayang. I cuma nakkan pemahaman, kejujuran dan kesetiaan daripada Sayang untuk i dan rumahtangga kita. Apa juga yang kita buat, fikirlah tentang pasangan, rumahtangga dan bakal baby kita. Semoga Allah sentiasa melindungi, melimpahkan rezekiNya dan sentiasa merahmati kehidupan kita."

Sekadar bisikan hati dan naluri seorang wanita, isteri & mommy to be.

Easy & Hard

Yang pertama saya selalu.
Yang kedua saya kadang-kadang.
Tapi rasa yang kedua lebih sakit lagi walaupun tak selalu seperti yang pertama.

Takutnya Rasa..

Lewat masuk kerja hari ni. Bukan saja-saja tapi saya kena hantar dia lewat sebab nak outstation lagi. Kali ni ke selatan pula. Dan sekali lagi juga air mata mengalir. Entah bila agaknya saya nak immune entah. Asal kena tinggal je mesti nangis. Nangis pun bukan depan dia tapi belakang-belakang je.

Perjalanan ke ofis saya terasa panjang disebabkan jalan menuju ke Dataran Merdeka ditutup sempena raptai Hari Merdeka pada 16 September 2011. Jadinya banyaklah jalan yang jem. Ramai kawan ofis saya yang terlibat untuk tarian. Hitamlah kulit mereka nampaknya. Sampai saja di ofis rutin seperti biasa saya lakukan macam selalu. Dalam dok menggodek tu saya terpandang satu nota tentang pengalaman bersalin yang ditulis oleh kawan saya. Saya nak baca tapi dalam hati ala-ala takut tapi segan. Tapi lepas tu baca jugak.

Ada genangan air mata waktu tekun menghayati cerita dia. Saya risau dan takutkan situasi sewaktu itu. Membayangkan keadaan dia yang berada di tengah-tengah antara hidup dan mati dan sekaligus saya cuba membayangkan bagaimana agaknya keadaan saya nanti. Adakah sama atau lebih teruk lagi. Sungguh saya takut untuk melalui pengalaman itu. Sejak daripada dulu lagi terutamanya sejak saya tengok filem Neng Nak tu. Sumpah saya menyesal sampai sekarang sebab tengok filem tu. Faham-fahamlah kalau Thailand buat cerita macam mana. Memang real macam nak bagi orang takde nafas terus.

Saya terbayangkan keadaan diri sendiri. Mampu ke saya nak harungi semua tu? Terdaya ke saya nak menanggung segala kesakitan tu? Rasa sakit nak bersalin, terkoyak, digunting dan dijahit. Adoiiii~ Selamat ke saya dengan baby nanti? Macam-macam yang ada dalam fikiran ni. Rasa takut, cuak dan risau saling bersilih ganti. Ehh jap baby tendang perut saya lah. Huhuhu macam tau-tau je mummy tengah cite pasal dia. Okay tutup cerita sebab kalau tak nanti memang saya tak berhenti daripada membayangkan keadaan tu.

Semoga Allah permudahkan segala-galanya.

Tuesday, September 13, 2011

Zahirkan Kasih Sayang

Saya suka dan gembira dan teruja bila tengok orang yang berkasih-kasihan di wall masing-masing. Maksud saya bila selalu bertanya khabar, mengambil berat dan ber romantika sesama mereka. Kadang-kadang rasa cemburu pun ada bila tengok. Bukan kadang-kadang kot tapi selalu. Heee~

Kenapa? Perasaan kita bukan satu benda atau objek yang boleh kita nampak zahirnya. Kita tak boleh nampak macam mana bentuk dan sifatnya sama sekali. Perasaan cuma boleh dirasa dan diluahkan. Kalau kita zahirkan sekali pun mungkin dengan perbuatan, cara atau tindakan. Tapi apa dia perasaan? Memang kita tak boleh nak tunjukkan macam mana rupa bentuknya kan?

Sebab tu saya suka bila orang sentiasa menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk melahirkan perasaan sayang, cinta, rindu dan mengambil berat pada orang yang dia sayang. Tiba-tiba saya teringatkan sahabat baik saya. Hanya 3 bulan iaitu satu tempoh yang sangat singkat untuk suaminya melahirkan rasa kasihnya yang saya pasti waktu itu sememangnya bagaikan 3 saat saja. Peluangnya cuma sekejap je. Kalaulah ada penyesalan, apa lagi yang kita boleh buat? Semuanya dah terlambat kan?

Saya tak faham kenapa waktu bercinta je kita mesti nak lebih-lebih mengalahkan orang yang dah kahwin? Tapi bila dah kahwin, dah sah dan halal semua tu terus hilang. Selalu sangat saya dengar macam tu. Saya jenis yang suka nak menzahirkan perasaan saya. Saya tak peduli sebab itu hak saya. Apa lagi bila sudah berkahwin. Itu usaha saya untuk mewarnakan perhubungan. Usaha saya untuk mengeratkan lagi kasih sayang yang ada. Tapi kadangkala perasaan terusik juga bila terasa bagaikan berdiri sendiri di atas titian ini. Sabar~

Perlukah kita tunggu orang yang kita sayang tu tiada lagi baru kita nak menyesal dan tunjukkan kasih sayang kita? Kenapa selalu berlaku bila orang tu dah tiada baru kita nak hargai? Sedarlah sebelum penyesalan hadir di waktu yang terlewat.

Cerita UPSR

Mendengar radio di waktu pagi lebih-lebih lagi sewaktu memandu adalah satu rutin hidup seorang manusia. Lebih-lebih lagi kalau kerja dia memang menuntut pemanduan kereta, van, lori atau apa-apa saja ke pejabat dan sebagainya. Kenapakah ayat saya sebegini skema?

Satu stesen radio mengeluarkan topik tentang Coret-Coret UPSR. Maksudnya pendengar di Malaysia ni bolehlah berkongsi segala kenangan atau sejarah atau cerita yang menarik berkenaan UPSR yang kita pernah lalui dulu. Zaman UPSR saya berjalan pada tahun 1995. Lama sudah. 16 tahun sudah berlalu dan sekarang saya sudah pun berumur 22 tahun. Sila abaikan rasa tidak percaya anda~

Daripada kecik sampailah sekarang saya memang cukup tak suka dengan kira-kira ataupun Matematik. Saya tak suka nombor sebab saya pening. Jap nak tambah jap nak tolak jap lagi nak bahagi pulak lepas tu dah penat-penat buat semua tu kena darab balik. Nombor tu pun boleh pening kot. Saya teringat sorang kawan saya yang memang tak boleh blah dengan subjek Matematik tu. Kalau 1/2 tambah dengan 3/4 dia akan jawab tanpa rasa bersalah dan ragu-ragu dan bagi jawapan 4/6. Dia tambah macam tu je. Tak payah nak guna formula ke apa. Suka-suka hati dia je.

Daripada kecik jugak fokus dan minat saya lebih dan sangat-sangatlah kepada subjek Bahasa Melayu. Karangan memang jadi minat saya waktu tu. Punyalah minat sampaikan waktu rehat yang 30 minit tu pun saya gunakan untuk menyiapkan kerja sekolah 2 karangan yang cikgu bagi. Siap masa tu jugak jadinya malam tu boleh relaks tak payah fikir pasal kerja sekolah. Dan hasil daripada minat melampau tu jugak semua kerja sekolah karangan saya akan dijadikan contoh untuk dibacakan di hadapan kelas dan jadi karangan terbaik setiap kali kerja sekolah diberikan oleh cikgu. Sampaikan ada budak kelas saya yang sound 'lagi-lagi muka dia..' Ehhh? Sape suh kau tak buat kerja elok-elok kan? Sampai sekarang saya tak suka dengan budak tu sebab dahlah masa tu dia budak baru kat kelas saya lepas tu boleh dia sound gitu pulak kan. Gila pendendam aku nih~ Dan sewaktu peperiksaan UPSR tu berjalan saya masih ingat lagi ayat cikgu Bahasa Melayu saya sebelum kertas karangan bermula. 'Fazlina ni saya tak risau..dia mesti boleh buat punya..' Errr naik ke langit sambil lompat-lompat atas awan jap~ Keputusan UPSR saya? Dua-dua kertas Bahasa Melayu saya dapat A tapi Matematik dan Bahasa Inggeris tu rahsia. Heee hokkk~

Inilah hasilnya. Sekarang orang dah tahu kenapa saya gila mengarang dalam blog ni. Heee~

Monday, September 12, 2011

Sama Tapi Tak Serupa

Sudah lama saya tak bercerita sejak saya kehilangan sahabat baik saya. Sudah lama saya tak mengadu dan berkongsi rahsia. Tapi hari ini saya baru tersedar yang saya ada seorang lagi kawan baik. Dahulunya kita selalu berhubungan dan kadang-kadang menangis bersama bila meluahkan masalah masing-masing.

Terdetik di hati saya untuk bertanyakan khabar dia minggu lepas. Mesej saya dibalas dan tadi kami berborak daripada jam 2.00 petang sampailah dia nak balik ke rumah jam 5.30 petang. Betul punya sembang. Tak sangka kami punya satu masalah yang sama. Masalah yang sukar untuk diceritakan. Masalah yang betul-betul memberikan masalah. Saya simpati padanya. Perasaan marah dan bengang yang pernah dirasakan pada dia hilang serta merta dan bertukar kepada rasa kasihan yang amat sangat.

Dulunya saya sangka masalah sayalah yang paling besar. Sayalah yang paling malang dalam dunia ni. Tapi rupanya ada orang lain yang punya masalah lebih besar daripada saya. Saya sepatutnya bersyukur kerana walaupun diuji Tuhan dengan masalah yang serupa tapi mungkin tak seberat masalah kawan saya.

Kadang-kadang kita selalu menyalahkan takdir dan Dia. Kononnya Dia tak adil dalam menguji kita. Kononnya Dia tak adil dalam memberikan cerita dalam kita meniti perjalanan kehidupan. Kita lupa walau sebesar mana pun masalah dan seberat mana pun beban yang kita tanggung, masih ada lagi yang bernasib serupa malah ada yang lebih teruk daripada kita.

Semoga Allah permudahkan segalanya dan semoga saya dan dia dapat keluar daripada masalah yang ada. Amin~

Baby Mummy Lagi

Sekali lagi saya nak bercerita tentang baby saya. Saya tak peduli kalau orang bosan atau meluat atau menyampah. Hanya yang diberikan peluang merasa anugerah ini saja yang faham dan tahu apa perasaan saya waktu ini. Teruja dalam rasa bersyukur yang amat sangat.

Pada awalnya saya tak tahu nak membezakan sama ada baby saya sudah bergerak atau belum. Pertama kali dan tiada pengalaman memang membuatkan saya seperti ala-ala blur bila rasa macam ada angin dalam perut. Tapi kata kawan saya itu sebenarnya adalah permulaan pergerakan baby. Itu saya rasakan sewaktu usia kandungan mencecah 17-18 minggu. Saya masih kurang pasti dengan pergerakan yang saya rasa di dalam perut.

Tapi bila usia kandungan saya sudah mencecah 19 minggu saya sudah dapat membezakan antara pergerakan atau tendangan si kecik ni. Lebih-lebih lagi bila sudah genap 20 minggu = 5 bulan. Kadang-kadang perut saya krem dan tegang. Mungkin dia tengah bergerak-gerak atau mengeraskan badan. Dia tengah shuffle agaknya. Tapi rasa tendangan tu memang sangat kuat bila letak tangan kat perut pun saya boleh rasa tangan saya tu terangkat. Amboi bukan main lagi dia main futsal dalam perut. Haaa~ Dan kekerapan saya bermain-main dengan perut memang sangat memberikan respon yang sangat aktif daripada dia. Saya gosok-gosok perut dia tendang. Saya gosok-gosok perut dia tendang. Saya gelak sorang-sorang je main dengan baby sebab orang kat sebelah best je tidur. Heee~

Ya Allah, semoga perasaan dan kebahagiaan ini akan terus bersama saya hingga ke hujung nafas.

Baby Mummy

Membaca muka hadapan suratkhabar Harian Metro hari ini memang melahirkan rasa simpati dalam hati saya. Kisah seorang bayi yang mengalami kecacatan iaitu otaknya berada di luar tempurung kepala. Bayi yang ditunggu-tunggu kehadirannya kerana lahir selepas 6 tahun usia perkahwinan ibu dan bapanya. Hanya simpati dan doa yang mampu saya iringkan untuk ketabahan dan kesabaran pasangan tersebut.

Dalam hati saya berdoa semoga Allah tidak menguji saya dengan dugaan sebegitu. Saban hari saya berdoa dan berbisik dengan baby. Semoga Allah memberikan kesihatan kepada kandungan dan baby saya. Semoga Allah permudahkan segala urusan sepanjang kehamilan dan juga proses kelahirannya nanti. Semoga Allah memberikan saya baby yang comel, sihat dan sempurna.

Kata kawan saya selalulah berborak dengan baby. Dalam usia kandungan sebegini dia sudah mendengar dan mengenali suara saya. Bisikkanlah padanya yang dia akan menjadi anak yang baik, bijak, soleh dan solehah. InsyaAllah dia akan mendengar dan menjadi seperti yang kita harapkan. Itu juga yang saya pesan pada dia. Kalau nak ajak baby borak, boraklah benda yang baik-baik supaya baby dengar dan jadi anak yang baik.

Baby, i really can't wait to hold you in my arms. -Mummy & Daddy-

Makan Makan Makan

Memang seronok bila kita tak bersendirian di hujung minggu. Walaupun tak pergi ke mana-mana tapi kita tetap rasa suka suka suka. Plan saya berjalan dengan baik sekali minggu lepas. Pergi makan-makan kat rumah officemate kat Putrajaya lepas tu jalan-jalan raya kat rumah uncle dia kat USJ. Macam nak tidur sana terus je gayanya sebab dekat pukul 12.00 tengah malam baru balik rumah.

Hujung minggu lepas ni tempat saya banyak kat dapur je. Entah apa yang saya buat pun saya tak tahu. Kejap-kejap basuh kuali. Kejap-kejap basuh periuk. Kejap-kejap basuh pinggan. Sampai satu tahap saya rasa macam penat sangat dok berdiri kat sinki tu. Semua tu berpunca daripada selera makan saya yang naik mendadak. Jumaat lepas usaha untuk cuba buat mee hailam tu agak berjaya walaupun rasanya tak sama macam dengan yang mak buat. Saya dapat rasa sikit je sebab dia habiskan mee tu. Habis pun sebab lapar agaknya. Macam tak confident je nak cakap sedap. Duh~ Tapi lepas tu saya masak nasi pulak. Cuma lauk ringkas taugeh masak tumis dengan ayam masak capcai. Saya makan sikit je tapi tengah malam tu saya lapar balik lepas tu lepas geram buat balik mee hailam tu lepas tu makan sorang-sorang. Dia asyik tengokkan saya sebab pelik kenapa saya asyik makan je tak habis-habis.

Hari Ahad tu bermula agak lambat. Sarapan pagi saya juga adalah percubaan pertama iaitu mee hokkien. Dengan bangganya saya rasa macam sedap je makan mee tu. Tengahari tu saya lapar balik saya makan pulak coco crunch + satu kali refill. Lepas tu kitorang pergi shopping barang dapur kat Giant. Saya memang ala-ala teruja je bila nampak banyak sayur kat situ. Ambik, ambik, ambik. Tapi saya pastikan sayur yang saya ambik tu jenis yang memang senang dimasak dan laju untuk dimakan kitorang. Takdelah main ambik je tapi sudahnya layu di tasik madu. Dalam kesibukan mengambik itu ini tu dia pun macam pelik je tengok saya beria-ria. Dia cakap 'ambik macam-macam tu entah apalah yang nak dimasaknya ni..'. Saya cakap 'standby!'. Alhamdulillah dalam dok main ambik-ambik tu bila sampai kat kaunter tak sampai RM100 pun. Hasilnya peti ais saya sangat penuh dengan bahan mentah dan makanan. Dan kesudahannya sekali lagi malam tadi kerja saya cuma makan je. Saya cuma masak pak choy sos tiram, sosej black pepper dan ikan kembung gorang je. Lepas tu kejap makan jeli yang terus saya buat bila balik dari Giant. Lepas tu goreng frozen food pulak. Sekali lagi kena tegur sebab asyik makan je.

Seronoknya bila boleh makan macam-macam. A'ah saya memang nak cerita pasal makan je sebenarnya.

Friday, September 9, 2011

Cerita Perut Saya

Saya suka dan seronok dan teruja bila nak cerita pasal perut saya. Kalau lebih kurang 6 bulan dulu mungkin takde apa yang menarik pada perut saya tapi sekarang dah jadi sangat menarik. Menarik pada saya lah. Pada orang lain tak kot.

Sejujurnya pada awalnya memang saya belum bersedia untuk menerima sebarang kehadiran orang baru dalam perkahwinan. Bukan kerana tak suka atau terlalu mahukan privacy atau nak hidup berdua dulu tapi saya lebih fikirkan keadaan ekonomi dan persediaan mental dan fizikal. Bila segala-galanya hanya berpaksikan kepada duit banyak benda yang kita rasa akan jadi seperti satu masalah. Fikir saya waktu tu mahu memberikan masa sekurang-kurangnya setahun pada diri sendiri dan juga dia. 

Saya risaukan keadaan ekonomi yang kurang stabil waktu itu. Saya juga risaukan persediaan fizikal dan mental diri sendiri dalam berhadapan dengan karenah dan ragam anak-anak. Tambah-tambah lagi dengan masalah-masalah lain yang datang. Biasalah di awal-awal perkahwinan banyak benda dan masalah yang boleh mengganggu perjalanan sesebuah perhubungan. Ada saja yang menghalang dalam usaha untuk mencari keserasian dan kefahaman di antara satu sama lain. Tak perlulah dikenang apa lagi nak dihurai dengan lebih lanjut sebab nanti cuma menambah luka di hati. Haihhh~

Tapi rezeki daripada Allah tak siapa pun yang tahu. Pada awalnya saya rasa biasa-biasa saja. Tapi bila saya semakin sedar dan terasa bahawa ada satu nyawa yang berdiam di dalam jasad saya, saya sedar ini adalah satu anugerah yang paling indah dalam hidup saya. Diberikan Dia supaya saya menjadi insan yang lebih sabar dan tabah. Supaya saya lebih matang dalam setiap perlakuan dan tindakan. Supaya saya dapat merasakan nikmatnya bila bakal menjadi seorang ibu. Supaya saya lebih bahagia dan tidak lagi menangis dalam derita.

Hari demi hari, perut saya semakin ketara. Sudah pun melangkaui 21 minggu tapi perut saya nampak kecil sahaja. Tapi pergerakan si dia dah terlalu banyak saya rasakan. Bermula dengan pergerakan kecil sampailah tendangan kuat sudah saya alami. Begitu juga dengan bonjolan-bonjolan kecil di sana sini. Tiba-tiba saya boleh rasa ada bucu-bucu keras di perut. Atau pun mungkin anggota-anggota badan dia yang lain. Kejap kat sana kejap kat sini. Saya suka sangat nak kacau biar dia bergerak-gerak tak duduk diam. Biarkan dia tension sebab asyik kena kacau je. Susah nak digambarkan macam mana perasaan bila melalui semua ni. Hanya Dia dan yang pernah mengalaminya je yang akan tahu dan faham apa yang saya rasa.

Semoga dia akan mengubah segala derita. Semoga dia akan membahagiakan saya.

Snap-Snap Raya

Tiba-tiba rasa macam nak share gambar-gambar masa hari raya lepas. Gambar-gambar ni dah ada dah pun kat facebook saya. Tapi saya tak kira saya nak share jugak.

 Ni gambar satu family saya tapi tak cukup korum sebab family kakak saya takde. Sejak ada rumah sendiri ni dia nak pagi raya pertama kat sana je lepas tu baru balik kampung. Yang kecik-kecik ada kelip rambut kat kepala tu lah Amani Baiduri. Tak comel pun. Haha~

 Ni gambar kat rumah arwah nenek saya. Sebelah rumah je pun. Yang selain daripada family saya tu family pakcik saya iaitu adik kepada emak. Rumah ni memang jadi rumah pertama wajib yang akan kitorang pergi di pagi raya.

 Yang ni pulak rumah kedua wajib di pagi raya iaitu rumah kakak sulung kepada mak. Kat kampung sebelah je. Ni dah bercampur dengan makcik pakcik dan sepupu dan dua pupu.

 Inilah rumah arwah makcik saya yang meninggal dunia sehari sebelum raya tu. Masa ni raya ketiga. Selalunya kitorang akan sampai ke sini pada raya keempat tapi tahun ni berbeza sikit disebabkan keadaan masa tu. Lokasi di Mantin, Negeri Sembilan. (sila abaikan perempuan gemok kain senteng di dalam gambar)


Sepanjang 8 September

Satu hari saya menunggu panggilan atau sms daripada adik dengan emak semalam. Kenapa diorang tak wish birthday saya? Saya tak puas hati sangat rasanya. Tak mungkin mak lupa sebab tiap-tiap tahun dia memang tak pernah lupa. Saya pun buat-buat jual mahal tak nak telefon dulu. Sampailah on the way balik kerja petang semalam saya sms jugak adik saya. Saya merajuk cakap 'cek bab tak ingat ke hari ni hari apa?'

Haha dengan pantas saya dapat sms balasan. Sms siap nyanyi lagu Happy Birthday. Lepas tu saya balas cakap 'kaknor rasa macam malu2 plak..'. Tapi adik saya tak balas. Saya tahu dia malas nak layan saya. Haha. Bila dah sampai rumah saya dapat call daripada ex-schoolmate saya masa kat Teknik Ampangan dulu. Dia merangkap abang angkat sayalah kononnya. Secara kebetulan birthday kitorang sama cuma berbeza tahun je. Agaknya sebab itulah saya nak terima dia jadi abang saya dulu. Kalau tak jangan harap sebab saya tak minat kena angkat-angkat ni. Huhuhu. Dia wish birthday gak tapi lepas tu dia cakap nak datang rumah beraya. Dengan tak malunya siap suruh orang masak. Lepas tu siap cakap tak payah susah-susah. Mee goreng ke bihun goreng ke pun dah okay. Eeee kau punya request kan? Warghhh panik! Panik! Panik!

Saya panik sebab kat bahagian dapur rumah tu memang tak berapa nak complete. Rasa macam nak balik kampung lepas tu kebas semua rempah ratus dan basic masakan emak. Begitu juga dengan sayur-sayuran dan bahan mentah yang ada. Tak lupa jugak periuk belanga, sudip, pinggan mangkuk untuk satu set 6 orang siap dengan gelas dan jug. Barulah saya boleh sengih senang hati kalau orang nak datang rumah. Tapi sekarang ni saya sengih susah hati sambil dahi berkerut dan muka ala-ala spastic ketakutan. 

Tapi takpe sebab kalau tak macam tu sampai bila-bila pun saya tak akan belajar kan. Okay kita kena fikir positif. Dengan pantas semalam saya try buat mee goreng tapi disebabkan mee takde saya tukar dengan maggi goreng. Haaa jadi je lepas tu makan sorang-sorang. Kalau Sayang ada boleh jugak jadi tukang komen walaupun saya dah tahu komen dia sebenarnya. Cuma saya tak tahu dia ikhlas ke tak bila dia puji masakan saya tu sedap. Hahaha~

Selepas sesi merasa 2 pinggan maggi goreng selesai. Okay saya kalau rasa memang bukan 2 sudu ye tapi 2 pinggan terus. Saya telefon emak nak tanya macam mana nak buat mee hailam pulak. Tapi sebelum emak membebel macam Chef Wan dia dah ucap Selamat Hari Jadi siap-siap tapi lepas tu dia tarik balik ucapan tu sebab dia cakap 'eh bukan selamat hari jadi sebab jadinya tu tak taulah jadi apa..' Hoh? Nampak sangat saya ni anak yang tak berapa nak jadi. Wahaha. Lepas tu baru dia ucap 'selamat hari lahir..' tapi lepas tu saya cakap 'kenapa lambat sangat? orang tunggu je adik ke mak ke telefon tapi takde pun..' Then mak cakap 'aku ni ada hp tapi aku bukan tau nak tulis macam mana..' Okay mak, alasan mak tu diterima. Mak memang tahu macam mana nak telefon dan jawab call je. Cerita pasal mee hailam saya tu pulak akan ada kesinambungannya bila saya nak cuba buat balik kerja petang ni. Cuma itulah kan saya ni jenis tak rajin nak ambik gambar macam orang lain. Maklumlah sejak pakai handphone cap unta lepas tu laptop pun dah koma jadinya saya pun dah lupa tentang kecanggihan gajet yang ada dalam dunia ni. Kalau tak boleh jugak saya share kat blog ni. Haihhh~

Itu cerita semalam. Saya sangat happy di hari pertambahan usia saya yang ke 28 tahun tu. Hari ni Sayang saya balik. Seronoknya. Yahoo.com! 

Thursday, September 8, 2011

Sedapnya Kalau Dapat Makan

Saya suka tengok blog-blog makanan yang ada kat sebelah kanan blog saya ni. Mata saya mesti cepat tangkap kalau diorang ada post entry baru sebab gambar-gambar yang diorang letak tu memang cukup menarik perhatian mata saya.

Lagi-lagi kalau diorang letak gambar agar-agar ke puding ke. Memang meruntun kalbu sangat rasanya. Jiwa saya memang akan lemah kalau berhadapan dengan makanan spesis agar-agar atau puding ni. Sangat-sangatlah menjadi kegemaran daripada dulu sampai sekarang. Tak pernah pun saya jemu nak makan diorang tu semua. 

Tapi sebenarnya kadang-kadang jadi tak suka sebab saya boleh tengok je. Yelah dapat tengok gambar je kat blog tu. Kalau nak buat sendiri ohhh betapa rajinnya diri ini kan? Kalau agar-agar tu saya okay lagi tapi kalau dah namanya puding saya lagilah terror. Terror makan. Saya akan stress kalau tengok resipi yang panjang berjela lepas tu bahan dia benda-benda yang pelik-pelik atau entah guna nama apa. Makanya saya akan tenung gambar tu untuk lepaskan perasaan teringin lepas tu close page terus. Hahaha buruknya perangai orang yang cepat give up ni.

Dah terlalu banyak sebenarnya owner-owner blog tu menyeksa jiwa raga saya dengan gambar-gambar makanan diorang. Rasa macam nak contact diorang dan mintak tolong diorang buatkan untuk saya. Serius terseksa sangat rasanya bila teringin nak makan tapi tak dapat. Lepas tu dapat tengok je. Stress sekejap~

Pondan Istimewa?

Wujud ke istilah atau perumpamaan 'pondan istimewa'? Tak kiralah sama ada kita buat pembedahan jantina atau tidak. Atau sekadar makan pil hormon untuk pertumbuhan satu-satu anggota badan. Tapi daripada mana datangnya istilah 'pondan istimewa' tu?

Bukan kita tak cuba untuk memberi peluang pada golongan seperti ini tapi kadang-kadang tindakan atau perlakuan melampau diorang tu yang buat kita sendiri rasa menyampah atau meluat. Kita juga tak berhak untuk menilai perilaku atau taraf mereka di sisi Allah tapi apa yang sudah nyata dan jelas tetap satu hakikat. Ianya tetap haram. Tetap berdosa.

Kita bukan tinggal di negara-negara barat yang ada sesetengahnya menghalalkan perhubungan dan pernikahan sesama jenis. Tapi kita tinggal di negara Malaysia yang dilabelkan sebagai negara Islam. Majoritinya adalah Melayu yang beragama Islam. Istimewa atau tidak, ada kelebihan atau tidak, kenyataannya tetap tidak berubah. Hukum yang ada bukan boleh dipinda sesuka hati.

Tak kasihankah pada keluarga yang membesarkan kita? Memang kita mungkin takkan faham apa yang mereka rasa dan tanggung tapi apa yang berlaku sudah terlalu jelas dan mesti dihalang segera apa lagi bila masing-masing bersikap selamba seolah-olah perbuatan tu tak berdosa. Kenyataan 'mahu hidup bahagia bersama' dikeluarkan seolah-olah mereka itu satu pasangan normal lelaki dan perempuan. Seolah-olah kita semua seperti tak memahami keadaan dan perasaan mereka. Seolah-olah kita pula yang berdosa besar kerana menghalang hubungan 'percintaan' mereka. 

Dunia sekarang memang sudah kita tidak tahu mana hujung mana pangkal. Mana perempuan mana lelaki. Mana pahala mana dosa. Mana halal mana haram. Kita bukan menghukum begitu saja tapi penilaiannya adalah pada satu perkara yang jelas. Bukan pada khabar angin atau fatwa yang direka sesuka hati.

Selamat Hari Lahir

Genap 28 tahun yang lepas mak saya bersusah payah melahirkan saya ke dunia ni. Genap 28 tahun yang lepas saya berjaya melihat dunia walaupun yang saya tahu masa tu cuma menangis.

Hari ni 8 September 2011. Selamat hari lahir kepada saya. Walaupun cuma sendirian di malam hari lahir tapi panggilan yang saya terima tepat jam 12.00 tengah malam tadi sudah cukup membuatkan lena saya ditemani senyum sepanjang malam. Nyanyian dan ucapan daripada dia benar-benar menenangkan hati.

Terima kasih kepada emak sebab berjaya mengeluarkan saya daripada perutnya. Sakitnya mungkin hanya Allah yang tahu. Lepas tu dapat pulak anak yang degil mesti emak saya bengang, stress, tension dan sakit hati. Tapi takpe sebab sekarang saya dah besar dah pun. Terima kasih emak sebab sabar melayan karenah anak degil selama 28 tahun ini.

Selamat hari lahir sekali lagi kepada diri sendiri. Saya bersyukur kerana dipanjangkan usia dan diberikan peluang untuk merasa nikmat pertambahan usia di setiap tahun yang berlainan. Semoga nikmat itu tak akan terhenti. Alhamdulillah~

Wednesday, September 7, 2011

Beratnya Kg Saya

Berat saya sudah 54.4kg. Itu adalah berat yang paling berat yang pernah saya alami sepanjang hidup selama 28 tahun ni. Rekod sebelum ni cuma 52kg sahaja itu pun 12 tahun dulu masa saya sekolah menengah. Gara-gara junior diwajibkan makan tak boleh skip walau sekali pun. Tapi bila dah jadi senior saya kurus balik.

Gembira ke tak? Tak gembira pun! Sebab berat naik sangat mendadak dan akhirnya telah mengakibatkan saya diwajibkan minum air gula. Salah saya ke kalau berat saya naik? Kita kan baru lepas hari raya. Takkan mungkin saya tengok je ketupat, ayam masak kicap, ayam masak merah dan makanan-makanan lain tu. Apatah lagi saya baru je nak ada selera makan macam asal balik. Mustahil saya nak biarkan je orang lain makan lepas tu saya tengok sambil ngences. Oh tidakkk kerana sesungguhnya perut saya akan berada di dalam kerugian~

Sekarang ni dah duduk rumah sendiri. Peti ais saya bagaikan 7Eleven. Macam perut Doraemon. Saya suka sebab ada aiskrim, ada coco crunch, ada biskut, ada nata de coco, ada nugget, ada chicken ball, ada daging burger. Lagipun haruslah saya kena standby makanan sebab bila duduk sorang saya tak nak dah keluar rumah bila dah balik daripada kerja. Kalau saya tinggal sorang memang semua makanan tu akan bertahan lama contohnya macam sekarang ni. Tapi nanti kalau dia dah balik daripada outstation mesti saya stress dan rasa macam nak sorokkan semua makanan tu sebab nanti mesti berebut. Huhu nanti macam anak buah saya Amani cakap 'cikno ni kudukut la!'.


Senang hati sebab tu semuanya saya nak makan. Berat naik pun takpe sebab itu lebih baik daripada susah hati sampai tak makan kan?

Check Up

Saya baru saja pulang dari Klinik Kesihatan. Rutin check up setiap bulan harus diikuti walaupun sebenarnya saya dah terlebih 2 hari daripada tarikh sebenar. Saya lupa nak check buku pink tu. Sepatutnya jugak saya kena minum air gula hari ni tapi diorang tak cakap pun kena puasa daripada malam tadi. Saya dengan rasa best dan bersemangat dah pun sedap makan nasi goreng buatan jari jemari sendiri beserta satu mug susu coklat Anmum pagi tadi. Jadinya minum air gula terpaksa ditunda ke next check up.

Pertama kali ke Klinik itu. Saya kena tukar klinik sebab dah pindah rumah jadi kenalah pergi ke klinik yang terdekat. Ramainya orang. Alamak takde privacy betul macam klinik lama. Kanak-kanak berkeliaran bagaikan tiada pedoman dan hala tuju. Aku stress sekejap~ Tapi seronok bila tengok perangai diorang. Okay baby boleh ikut kecomelan mereka tu tapi yang nakal-nakal tu jangan ikut tau~

Agak lama Sister tu mengomel blablabla dengan saya. Dengarkan jelah segala maklumat yang dia bagi. Sebelum tu saya dapat dengar degup jantung baby. Laju macam tengah main lumba lari. Cargas baby mummy~ Tapi tiba-tiba jadi macam nak tutup telinga dengan helmet bila dia cakap saya kena ambik injection kancing gigi. Dahlah tu bukan sekali tapi dua kali. Hari ni dan next check up. Sebenarnya saya takde pun mengalami sindrom ketakutan untuk ke hospital atau ke klinik tapi saya akan jadi macam tertelan putik durian bila dengar saya nak kena inject atau ambik darah atau masuk air. Apa saja yang melibatkan jarum lepas tu kena cucuk tang sana cucuk tang sini memang saya akan buat muka spastic konon nak mintak belas kasihan tapi sudahnya 'kau jangan haraplah farz!'

Memang pun saya nak nangis bila keluar daripada bilik suntikan tu tapi saya kan cemerlang. Control baek punya. Mungkin sebab saya pergi sorang-sorang. Kalau saya pergi dengan dia, nescaya air mata gedik, mengada-ngada dan nak mintak simpati akan mengalir bagaikan shower di bilik air hotel 5 bintang. Mengarut~ Hasilnya tangan kiri saya lenguh dan mengalami sengal-sengal akibat daripada suntikan kancing gigi tu. Terima kasih makcik Jururawat Masyarakat (saya baca kat name tag dia).