Nuffnang Ads

Tuesday, June 28, 2011

Mak Saya

Hari ni saya sendirian ke pejabat. Ya saya memandu sendiri setelah sekian lama duduk di kerusi penumpang. Seminggu ni saya berulang alik daripada rumah kakak kat D'Kayangan Shah Alam. Beradu sendirian walaupun sebilik dengan Mak Nenek. Semuanya sendiri. Kekosongan yang dirasa ini adakah turut dirasakan oleh dia?

Sedang saya melayan perasaan sewaktu memandu tadi tiba-tiba telefon saya berbunyi. Saya sangkakan dia. Tapi rupanya rumah kampung. Apa agaknya yang difikirkan mak sehingga menelefon saya pagi-pagi begini? Mak bertanyakan keadaan saya. Bagaimana dengan diri saya hari ini. Saya kata okay sahaja. Saya bercerita serba sedikit apa yang saya lalui, apa yang saya lakukan, apa yang saya usahakan. Mak menceritakan sesuatu sehinggalah di hujungnya saya terdengar tangisan. Kenapa mak? Tak perlulah saya ceritakan dengan jelas apa sebenarnya yang mak luahkan pada saya. Kesedihan tersebut turut saya rasakan. Sudah tentu kerana itu berkaitan dengan saya. Mungkin ada sesalan di dalam diri mak dengan apa yang telah berlaku. Saya terharu kerana semua itu disedari oleh keluarga saya sendiri. Kasihan agaknya mereka pada saya. Kerana penderitaan saya masih tak berpenghujung. Masih belum bernoktah.

'Mak, ampunkan jelah kalau dia ada buat dosa. Kalau ada buat salah. Kalau tak selagi itulah dia tak bahagia'. Saya mahu menangis bila mendengar ayat itu. Betapa kesilapan lalu mengekori setiap langkah saya pada hari ini. Kerana itukah saya selalu menangis? Benar, doa seorang ibu itu mustajab tapi haruskah kita mendoakan yang tidak baik untuk anak yang lahir daripada rahim kita sendiri? Tergamakkah kita melihat anak cucu kita sendiri hidup susah dan tak diberkati Allah dek kerana sumpahan kita? Hanya kerana terlalu ikutkan perasaan marah. Hanya kerana terlalu ego dengan gelaran seorang ibu. Mungkin itu yang berlaku pada mak ketika amarah menguasai diri.

Saya tahu mak tak akan sampai hati untuk membiarkan saya menderita selama-lamanya. Mak yang saya kenal terlalu mudah mengalir air matanya. Terlalu mudah kalah dengan anak dan cucunya. Tak akan sampai hatinya bila mendengar kesusahan anak-anak. Tak akan dia biarkan anak hidup sendirian tanpa hala tuju. Mak tetap akan menghulurkan tangan. Saya bersyukur kerana mak masih punya perasaan.

Mak, jangan pernah berhenti mendoakan kebahagiaan Nor. Ampunkan semua salah silap dan dosa Nor.

0 comments: