Nuffnang Ads

Monday, June 27, 2011

Insan Itu

Mood saya mula hilang untuk berada di sini. Mungkin kerana masalah yang hadir baru-baru ini sedikit sebanyak telah mengganggu emosi dan perasaan saya. Selera makan saya yang sekejap ada sekejap tiada juga semakin terganggu. Saya berusaha untuk tidak terlalu mengikut kata hati. Bersikap kejam pada diri sendiri dan baby yang ada di dalam rahim ini. Sesungguhnya dia tidak berdosa.

Alahan saya pada bau semakin ketara. Kalau namanya bau masakan memang saya tak mampu nak bertahan. Bau minyak goreng tu ke. Bau tumis-tumis ke. Kepala saya mudah pening dan tekak saya kembang sekembang-kembangnya. Tekanan benar-benar menyesakkan kepala dan dada saya. Tapi saya harus bertahan.

Saya pernah menyuarakan satu soalan kepada kawan baik saya. Satu soalan tentang diri saya. Tentang keadaan diri saya. Tiba-tiba dia mengingatkan saya pada makanan itu. SAMBAL TUMIS UDANG. Udang yang besar-besar. Sangat besar! Saya teringat pada insan yang memasak makanan itu. Insan yang sudah terlalu lama tidak saya sentuh tangannya. Insan yang sudah terlalu lama tidak saya lihat wajahnya. Insan yang sekian lama saya tidak dengar suaranya. Saya rindu gurau senda bersamanya. Saya rindu waktu-waktu santai bersamanya. Berbual bersama di luar rumah itu. Mendengar luahan hatinya tentang itu tentang ini.

Kadang-kadang hati terdetik menyebut nama dia. Ingatkah dia pada saya? Rindukah dia pada saya? Terkenangkah dia pada saya? Serasa ingin memanggilnya dengan nama panggilan itu. Tapi saya malu. Segan. Saya sedar siapa diri saya. Layakkah saya untuk menganggap diri ini sebahagian daripada dirinya? Walaupun darahnya turut mengalir di dalam benih yang wujud di dalam rahim saya. Sungguh saya terbayang-bayang sambal tumis udang tu. Tapi apa yang saya mampu hanya memendam rasa dan keinginan ini. Mana mungkin saya dapat merasa air tangannya lagi.

Apa yang saya mampu adalah mendoakan kebahagiaan dan keterbukaan hatinya untuk kembali seperti dulu.

0 comments: