Kosong bila sesuatu itu tak menjadi seperti yang kita harapkan. Kosong bila apa yang kita mahu tak pernah berada dalam genggaman. Kosong bila berulangnya sesuatu yang kita benci.
Bukan senang kita nak mengandaikan sesuatu itu berubah sepenuhnya. Walau diletakkan pedang di leher itu juga belum cukup untuk menjadikan seseorang itu akan berubah seperti yang kita mahu. Pertama, tiada keikhlasannya bila dipaksa. Kedua, berubah itu perlu daripada hati. Ketiga, perlu ada kesedaran sendiri. Lalu kita cuma mampu melihat dan menunggu bila saat itu menjengah hari kita.
Kenapa manusia sukar untuk berubah ke arah kebaikan? Fitrahkah namanya kalau manusia itu lebih sukakan keburukan, kejahilan, kemaksiatan, kekhilafan apa lagi dosa. Perlukah diberikan peluang yang entah untuk ke berapa kalinya hanya kerana dia bergelar manusia? Justeru itu perlukah juga setiap masa kita berpegang pada kata-kata tiada manusia yang sempurna atau pun tiada manusia yang lepas daripada melakukan kesilapan? Mudah kan kalau begitu? Semua manusia bebas untuk melakukan apa saja khilaf dengan alasan 'aku hanya manusia biasa..' atau 'aku tak sempurna mana..' atau mungkin 'semua manusia buat silap..' Habis tu? Perlu ke kita sentiasa melakukan kesilapan dek kerana ayat-ayat tu? Sampai bila? Bukankah kesilapan itu adalah satu landasan untuk kita memperbaiki diri sendiri? Bukankah kesilapan itu adalah satu pengajaran untuk kita tidak mengulangi khilaf yang pernah berlaku?
Satu peringatan untuk kita semua termasuk diri sendiri juga. Mati itu tak pernah berganjak daripada kita. Takkan cepat sesaat dan takkan lambat walau seminit. Masing-masing sudah ada ketentuan, waktu dan tarikhnya. Cuma kita tak tahu bila. Jadi salahkah kalau kita berubah ke arah yang lebih baik?
0 comments:
Post a Comment