Orang kata kalau kita tak kenal maka tak cinta. Tapi kadang-kadang kita tak tahu itu adalah masalah atau hanya ujian yang menduga.
Orang kata jangan mudah membenci pada sesuatu. Kelak takut menjadi cinta. Jangan senang menyerah kalah. Bimbang tersungkur berdarah semula.
Kenal dan ujilah dahulu. Baru kau tahu yang mana intan yang mana kaca. Yang mana memberikan kau cahaya, yang mana memberikan kau luka. Antara dua, ianya tetap menguji jiwa.
Aku pernah berkata TIDAK. Tidak mungkin sesekali. Takkan mungkin. Tapi kuasa Dia lebih mengatasi setiap sesuatu. Mampukah aku untuk menidakkan pada takdir yang telah lama tertulis cuma hanya aku yang tak tahu. Aku baru tahu.
Kalau bisa aku undurkan masa, banyak yang mahu aku elak. Banyak yang aku mahu tepis. Tapi setiap langkah kaki aku telah dirancang sebaik-baiknya oleh Yang Satu. Daya yang ada tak sekuat mana untuk aku menolak setiap ketentuan. Bila mana TIDAK yang aku pertahankan akhirnya menjadi YA. TIDAK yang aku banggakan selama ini kerana sentiasa menjadi pegangan akhirnya lebur begitu saja.
Langkah ini kadang aku rasa terlalu cepat untuk terus berlari setelah aku jatuh tersungkur untuk kesekian kalinya. Aku perlu merangkak semula. Aku mahu bertatih kembali walaupun letih. Kerana untuk mencari yang mendamaikan jiwa itu aku perlu percaya bahawa itu adalah yang terbaik. Yang terbaik untuk yang terakhir kalinya.
Aku perlu berjalan dengan tenang. Aku perlu melangkah dengan aman. Menghela nafas tanpa ada rasa terburu-buru demi menikmati sebuah kehidupan baru. Kerana aku masih belum pasti tentang sebuah penghujung. Aku masih sangsi pada sebuah kesudahan. Kalaulah.
0 comments:
Post a Comment