Redha. Itu saja satu cara untuk kita lebih menerima tentang sesuatu. Redhakanlah hati dalam menerima. Redhakanlah hati walau terpaksa. Bilamana sesuatu itu bukan lagi milik kita. Aku hanya mampu redha dan percaya bila diambil sesuatu itu daripada kita, Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih sempurna.
Bila aku ditukarkan aku redha. Satu, kerana aku sedar diri. Aku sedar tentang kesilapan dan kekhilafan yang telah aku lakukan. Dua, mungkin inilah masa yang sesuai sebab aku dah terlalu lama di tempat itu. Hampir 6 tahun, selama aku masuk bekerja di Jabatan ini. Tiga, aku perlukan persekitaran baru, ilmu baru, pengalaman baru dan segala-galanya yang baru.
Sebab itu aku kata, carilah hikmah di dalam setiap ujian. Itu akan membuatkan kita redha dan menerima.
Aku pujuk hati sendiri. Tiada perkembangan yang bagus bila dan jika aku masih berada di sana. Kerana semuanya sama dan tiada benda baru. Tiada ilmu dan pengalaman baru. Segalanya hanya menjadikan aku manusia malas dan tidak maju. Berada di dalam zon selesa hampir 6 tahun meletakkan kita dalam satu situasi yang semuanya diambil mudah, tidak punya semangat dan keyakinan diri.
Percayalah pada setiap rancangan Dia. Kerana bukankah Dia itu adalah sebaik-baik perancang? Makin lama aku semakin lupa dan selesa meninggalkan tempat lama. Malah sedikit pun aku tak punya rasa untuk kembali apa lagi menjejakkan kaki ke sana. Apa yang berlaku, layanan yang aku terima semuanya aku ketip kemas dalam setiap pengalaman.
Pedih dan perit. Kerana hanya negatif yang menjadi alas setiap perkataan dan pandangan. Tapi aku diajar supaya jangan pernah pedulikan kata-kata yang menjatuhkan dan aku perlu teruskan langkah dan terus memandang ke hadapan. Jangan lagi memandang ke belakang pada sesuatu yang cuma menjahanamkan barunya harapan.
Lega, mungkin itulah perasaannya sekarang. Kerana aku telah meninggalkan satu tempat yang penuh dengan palsu, penuh dengan hipokrit, penuh dengan umpatan, penuh dengan lakonan. Tiada yang jujur di sana. Itulah hikmah yang aku percaya Allah menegur aku secara halus dengan kejadian yang aku harapkan akan menjadikan aku manusia lebih baik.
0 comments:
Post a Comment