Memahami Kecemburuan Seorang Wanita
Kebanyakan lelaki berkata mereka tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh wanita yang cemburu. Menurut mereka, walau apa sekalipun yang mereka buat, isteri mereka yang cemburu tetap juga cemburu. Ditinjau daripada satu sudut, cemburu ialah manifestasi hilangnya rasa selamat dari dalam hati si pencemburu. Hilangnya rasa selamat bukan hanya menimbulkan cemburu, tetapi juga menghilangkan rasa kepuasan.
Menurut pakar-pakar pikologi perhubungan, bagi seseorang wanita, apabila dia berkahwin, dia mendapat kepuasan daripada dua sumber. Sumber kepuasan wanita yang pertama ialah tingkah-laku suaminya kepadanya. Dalam erti kata yang lain, dia mendapat kepuasan daripada cara-cara suaminya melayan dirinya. Setiap kali suaminya melayan dia dengan cara yang positif, maka wanita berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan membantu isteri membasuh pinggan lepas makan adalah tingkah-laku positif. Setiap kali si suami membasuh pinggan selepas makan, maka si isteri berasa sangat puas. Ini bermakna, untuk memuaskan hati isteri, lelaki digalakkan membuat banyak perkara-perkara yang positif.
Sumber kepuasan wanita yang kedua datang daripada makna yang diberikan olehnya ke atas tingkah-laku suaminya. Mana-mana perbuatan lelaki yang diberi makna dan nilai tinggi oleh wanita mecipta rasa kepuasan yang tinggi kepada wanita. Hasilnya, setiap kali seseorang suami melakukan perbuatan-perbuatan begitu, maka isterinya berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan lelaki memuji masakan isterinya diberi makna dan yang tinggi oleh si isteri. Setiap kali seseorang suami memuji masakan isterinya, maka isterinya berasa sangat puas. Ini bermakna lelaki perlu mengetahui pelbagai tingkah-laku suami yang diberi makna dan nilai tinggi oleh isterinya, dan mereka digalakkan banyak menunjukkan tingkah-laku jenis itu kepada isteri.
Suami-suami melakukan berbagai-bagai perkara. Setiap perkara yang dilakukannya diberi makna dan nilai oleh isterinya. Apabila perkara itu diberi nilai tinggi, setiap kali si suami melakukan perkara itu ke atas diri si isteri, maka si isteri mengecapi rasa puas yang sangat tinggi. Begitu juga yang sebaliknya. Setiap kali suami melakukan perkara-perkara yang diberi nilai rendah oleh isterinya, maka si isteri akan berasa amat tidak puas. Sebagai contoh, perbuatan balik lambat diberi nilai yang amat rendah oleh wanita, maka setiap kali lelaki balik lambat, isterinya akan berasa amat tidak puas.
Tetapi lelaki ingin tahu, bagaimanakah wanita memberikan nilai tinggi ataupun nilai rendah ke atas perbuatan dan tingkah-laku suami? Beginilah cara wanita memberikan makna dan nilai ke atas tingkah-laku suami mereka. Sebahagian daripada apa yang dilakukan oleh lelaki, mereka hanya melakukan perkara itu dengan isteri sahaja. Sebahagiannya pula mereka tidak pernah melakukannya dengan isteri. Manakala ada pula perkara-perkara yang mereka lakukan baik dengan isteri mahupun dengan orang-orang lain. Berikut ialah kriteria yang digunakan oleh wanita untuk memberikan nilai tinggi ataupun rendah ke atas tiap-tiap tingkah-laku suami:
1. Eksklusif dengan isteri
Bagi wanita, tingkah-laku suaminya yang bersifat eksklusif, iaitu ia hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri seorang sahaja, diberi nilai yang amat tinggi oleh wanita. Contoh perbuatan eksklusif yang dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja ialah seks. Jadi, semua tingkah-laku seksual si suami diberi nilai yang sangat tinggi oleh isteri selagi tingkah-laku seksual itu hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri sahaja. Tingkah-laku seksual termasuklah semua perbuatan yang mengiringi nafsu seks, dengan persetubuhan sebagai perbuatan yang paling tinggi nilainya. Itulah sebabnya setiap kali suaminya melakukan perbuatan-perbuatan seksual ke atas si isteri, maka si isteri mengecapi kepuasan yang sangat tinggi.
Kajian pakar-pakar mendapati lain-lain perbuatan lelaki yang dianggap eksklusif oleh wanita ialah:
a. Bercakap-cakap dan berbual-bual mesra lama-lama
Ramai lelaki menyangka mereka boleh melakukan perbuatan ini dengan wanita-wanita yang menjadi rakan-rakan rapat mereka dan lelaki menganggap perbuatan itu tidak patut menimbulkan rasa curiga di hati isteri mereka. Tetapi, bagi wanita perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya wanita berasa cemburu yang kuat apabila suaminya menghabiskan waktu yang panjang bercakap-cakap dan berbual-bual mesra dengan wanita lain, tanpa mengira siapa wanita itu kepada suaminya.
b. Usik-mengusik, bergurau senda dan bergelak ketawa
Bagi wanita perbuatan ini juga hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat di hati wanita.
c. Mencurahkan masalah peribadi
Bagi wanita, suaminya tidak patut mencurahkan perasaan dan masalah peribadinya kepada wanita lain kecuali dirinya. Oleh yang demikian perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat.
Apabila lelaki melakukan tingkah-laku yang sepatutnya sangat eksklusif itu dengan wanita lain, nilai tingkah-laku itu jatuh menjunam-junam di mata si isteri. Kepada si isteri, kini tingkah-laku itu tidak lagi membawa makna dan kepuasan yang sama seperti dulu. Itulah sebabnya, sebarang tingkah-laku seksual suaminya yang menyebabkan perbuatan itu kini tidak lagi ekslusif dengan dirinya seorang, ia menimbulkan reaksi cemburu yang sangat kuat daripada isteri.
2. Eksklusif tanpa isteri
Lelaki juga melakukan pelbagai perkara dengan orang-orang lain tetapi tidak pernah dengan isterinya. Sebagai contoh, lelaki tidak bermain bola dengan isterinya. Tingkah-laku suami yang tidak pernah dibuat dengan isterinya diberikan nilai yang rendah oleh si isteri. Jadi, perbuatan suaminya bermain bola dengan lelaki-lelaki lain tidak menimbulkan cemburu isterinya.
3. Inklusif
Ada kalanya lelaki melakukan perbuatan-perbuatan baik dengan isterinya, mahupun dengan orang-orang lain. Sebagai contoh ialah perbuatan makan. Perbuatan makan dilakukan oleh lelaki baik dengan isterinya dan juga dengan orang-orang lain. Perbuatan jenis ini diberi nilai yang sederhana tingginya. Setiap kali si suami makan bersama isterinya, si isteri berasa sederhana puas. Jadi perbuatan suaminya duduk makan semeja dengan rakan-rakan wanita sekerjanya menimbulkan reaksi cemburu yang sederhana kuatnya.
Inilah asas kepada rasa kepuasan seorang isteri. Apabila tingkah-laku yang dulu eksklusif dengan dirinya, kini dilakukan juga oleh suaminya dengan wanita lain, maka nilai tingkah-laku itu turun, ataupun hilang sama sekali. Akibatnya, tingkah-laku suaminya itu tidak lagi memberi kepuasan kepadanya. Sebagai contoh, jikalau suaminya menciumnya, dia berasa sangat puas kerana perbuatan itu adalah eksklusif. Apabila suaminya juga mencium wanita lain, dia akan berasa sangat cemburu. Akibatnya, apabila suaminya mencium dia, ciuman suaminya itu tidak lagi memuaskannya.
SUSAH SANGATKAH KAMU UTK MEMAHAMI WANITA WAHAI LELAKI???
0 comments:
Post a Comment