Nuffnang Ads

Friday, November 7, 2014

Mahal.

Bila kau mula merasakan segala yang ada pada diri kau itu mahal.  Bila kau mula merasakan semua yang ada pada diri kau itu berharga. Kau takkan mahu peduli lagi tentang apa kata mereka. Bagi aku, diri ini sangat mahal. 

Anggapan sesetengah manusia pada siapa aku telah lama aku buang. Persetankan pada mulut yang mengeji dan menghina. Kerana makan aku dan bidadari syurga itu bukan pada kau, kau dan kau yang aku minta. Susah senang aku berkayuh selepas berlari sesudah jatuh terduduk tersungkur kau takkan pernah tahu peritnya untuk aku melawan.

Manusia. Datangnya boleh jadi ikut sesuka hati. Perginya juga sama. Menganggap manusia seperti aku ini picisan yang boleh dibuang dengan rela dikutip bila suka. Haihh, manusia tetap manusia. Memperlahankan suara hanya bila ada kepentingan. Bila tak punya apa-apa, aku hanya seperti angin yang berlalu tanpa kau peduli mana tujunya.

Bercakap tentang kepentingan. Di manakah kepentingannya? Adakah kepentingan itu wujud? Orang kata, kalau kita penting tak perlu kita cari semuanya. Dia akan datang sendiri. Tapi bila sesaat daripada seminit pun kau tak punya masa, aku kira aku memang bukan siapa-siapa.

Eh manusia, jangan mengharapkan aku menjadi luar biasa kerana aku ini hanya biasa-biasa. Sedangkan dalam masa yang sama kau juga biasa-biasa dan tiada apa yang luar biasa.

Friday, October 3, 2014

Bosan kuasa lapan

Orang kata kalau kita sayangkan sesuatu tu kita akan pertahankan. Tak kira dengan perbuatan mahupun perkataan. Usahalah selagi daya untuk menghalang daripada kehilangan.

Tapi tapi tapi.

Kenapa aku tak rasa seperti dipertahankan?
Kenapa aku rasa semakin diabaikan?
Kenapa aku rasa macam takde pape je?

Arghhhhh aku semakin bosan!

Bosan bosan bosan

Raya Haji lagi dua hari. Pejabat mula sunyi kerana hilangnya mereka sudah sampai ke mana agaknya. Balik kampung. Itu ceritanya.

Aku masih di sini. Entah apa yang aku tunggu. Entah apa yang aku nanti.

KOSONG. Tiba-tiba aku rasa kosong. Yang dekat seperti menjauh di waktu yang jauh mahu mendekat.

Aku tak mampu untuk bergerak walau setapak. Aku tak mampu untuk berpaling walau seinci. Kerana aku masih belum lupa pada janji.

Kadang-kadang serasa mahu memutus janji. Berlalu pergi membiarkan kau bersama mereka mengisi semula kekosongan dengan warna-warna bahagia. Carilah ia di antara yang tersisa.

Tapi naluri hati aku tak pernah rela. Jauh di sudut jiwa aku tak pernah mahu. Harapan bodoh apakah yang aku rasa?

Arghhhh entahlah. Aku bosan.

Aku aku aku

Bila resah mengusik hati, aku akan kembali ke sini. Bercerita tentang rasa. Berkisah tentang jiwa. Mungkin tenang tak mampu melawan rasa resah tapi cukuplah bila aku tahu yang aku punya sesuatu untuk aku kisahkan tentangnya.

Aku bercerita supaya kau tahu. Bahawa aku masih menunggu. Lalu aku tak mahu kau berdiam kaku. Tanpa sebarang laku yang memutuskan siapa aku.

Aku mahu kau tahu. Rasa itu tiada pada mereka. Aku bukan picisan yang terdesak mengharapkan sesuatu pada yang aku tak punya rasa. 

Aku tak pernah mahu memaksa. Tapi kau harus faham tentang sampai bila. 

Wednesday, September 24, 2014

Kau tahu.

Yang terlahir itu kerana aku jujur. Yang terlahir itu kerana aku telus. Yang terlahir itu kerana aku ikhlas.

Yang terzahir itu kerana aku kasih. Yang terzahir itu kerana aku rindu. Yang terzahir itu kerana aku sayang.

Sukarkah untuk difahami dalamnya segala rasa yang terluah itu. Sukarkah untuk dimengerti tulusnya setiap tutur yang berlagu. Atau kau sengaja tak pernah mahu faham dan ambil tahu.

Kau tahu terlewatnya hadirmu meralatkan kebodohan yang pernah berlaku dulu. Kau tahu kalaulah kita tahu indahnya hidup hari ini, dahulu kau pasti dengan aku.

Andai masa itu di tangan aku. Andai masa itu di dalam kawalan aku. Aku tahu, kau tahu, kita tahu. Kau hanya untuk aku.

Hari ini perlukah kau dan aku mensia-siakan semuanya?

Kau.

Kau berikan nafas.
Kau berikan senyum.
Kau berikan ketawa.

Kau berikan hidup.
Kau berikan harapan.
Kau berikan cahaya.

Kau berikan rindu.
Kau berikan sayang.
Kau berikan cinta.

Tapi itu dulu.

Sesuatu itu.

Melawan sesuatu rasa yang datangnya bukan kerana kehendak dan kemahuan kita bukan sesuatu yang mudah. Menafikan sesuatu yang sebenarnya memang wujud juga tidak senang.

Sesuatu itu berjaya membuatkan aku lupa kepada masalah lalu. Berjaya membuang segala kenangan pahit yang memasungkan kaki aku daripada terus melangkah untuk memulakan hidup baru. Sesuatu itu mampu memberikan aku peluang untuk kembali mengenali warna-warna pelangi yang walaupun hadirnya cuma selepas hujan tapi indahnya hingga ke hujung dunia. Sesuatu itu hebatnya dalam memberikan aku harapan betapa hidup ini masih ada senyuman untuk aku.

Tapi kenapa sesuatu itu tidak lagi memberikan aku perasaan yang sama? Kenapa sesuatu itu tidak lagi menjanjikan senyum dan ketawa dalam hari-hari yang berlalu? Kenapa sesuatu itu tidak lagi memaniskan senyumnya demi untuk memberikan bahagia dalam hidup aku?

Pedih perit rasanya. Untuk menerima bilamana sesuatu itu berubah tanpa pernah mempedulikan hilangnya manis berganti tawar yang aku rasa hari ini. Sesingkat itu saja yang aku rasa. Aku cuba. Tapi huluran tak bersambut. Aku cuba. Tapi senyuman tak berbalas. Aku cuba tapi rasa tak lagi serupa.

Jauh di dalam hati aku serasa mahu berhenti. Berhenti daripada terus menyeksa diri. Berhenti daripada terus menangisi. Kerana terbazirnya air mata bagaikan tiada makna. Tiada harga kerana segalanya masih sama.

Apa yang aku rasa hari ini bagaikan sama seperti di dalam penjara lama. Hanya aku yang punya rasa. Hanya aku yang punya usaha. Hanya aku yang punya cinta. Kerana hakikanya, kau tak lagi serupa.

Monday, September 22, 2014

Sedih.

Sedih. Aku rasa seperti mahu menangis. Walau sebenarnya air mata sudah lama mengalir. Dalam hati. Dan kian terzahir di pipi.

Allah, Kau berikanlah aku segala kekuatan. Dugaan kali ini lebih hebat rasanya. Terluka dengan tingkah laku dan perbuatan. Yang bagai meletakkan aku sebagai persinggahan. Sebuah perhentian yang bila-bila masa saja boleh ditinggalkan.

Sungguh aku benar-benar mahukan cahaya ini sampai ke hujung. Bukan mendung. Andai ada sekalipun biarlah cuma sekejap. Yang menjadikan hidup lebih berwarna seperti pelangi. Bukan ribut tanpa henti.

Semuanya sama. Itu yang aku rasa. Air jernih yang mengalir tak pernah aku tahu hadirnya kerana apa. Rindu atau benci.

Friday, August 22, 2014

Persoalannya, sampai bila?

Pagi ini aku terjaga dengan 1001 perasaan. Perasaan yang menimbulkan segala kemungkinan. Keberadaan aku di dalam hidup yang akan mengalirkan luka.

Kalau aku suarakan ini, pasti akan disangkal dan dihalang. Haihhh kalaulah begitu mudah untuk aku terus bertahan dan bersikap seperti tiada apa yang berlaku.

Hakikatnya, aku sering makan hati. Aku sering mengalah dalam terpaksa. Menanggung segala rasa sendiri. Menyimpan segala sunyi di hati.

Persoalannya, sampai bila?

Thursday, August 7, 2014

Sahabat.

Semalam aku terkenang. Teringatkan sahabat yang telah tiada. Telah banyak kali aku bercerita tentang dia di sini. Aku takkan jemu. Takkan pernah untuk berhenti merindu.

Aku kehilangan sesuatu yang takkan pernah ada gantinya. Tempat bercerita segala rahsia. Tempat mengadu segala rindu. Tempat meluah segala rasa. Ceritalah apa saja. Takkan pernah ada kata-kata yang negatif keluar dari mulutnya. Dia takkan mudah menyalahkan aku apa lagi memberikan tanggapan aku yang bersalah untuk segalanya.

Bila aku menangis tersedu-sedu dalam phone pun dia boleh ketawa. Dia tahu bila masa dia perlu ketawa. Dia tahu bila masa dia perlu menangis bersama. Dia tahu bila masa gilanya aku untuk memaki hamun tapi disambut dengan gelak ketawa dia saja. Tapi aku tak kisah. Kerana apa? Kerana dia benar-benar memahami. Aku dan dia ketawa dan menangis bersama.

Bila dia menangis begitu juga aku. Mendengar dan menerima segala keluhan hatinya yang penuh sengsara. Bila dia ketawa aku selalu bersama mendengar segala cerita bahagianya. Berbagi rasa dengan dia buat aku rasa hidup ini bertongkatkan sebuah persahabatan yang tak pernah memandang buruk dan negatif pada aku. Nasihatnya berbaurkan kata-kata positif. Jarang malah mungkin tidak pernah untuk dia mengatakan aku ini degil dan keras kepala tidak mahu menerima pandangan orang lain.

Aku terlalu rindukan dia. Bila waktu aku sedang kacau, tiada lagi sahabat yang boleh aku hubungi jam 4 pagi untuk bercerita. Bila aku mengantuk drive ke tempat kerja, tiada lagi yang aku boleh ganggu untuk menemankan aku bercerita walaupun dia masih belum bangun tidur. Tak pernah dia gagal untuk bersama aku dalam apa juga keadaan. Dia benar-benar sahabat susah dan senang. Dia sahabat dunia dan akhirat.

An, i really miss you.