Melawan sesuatu rasa yang datangnya bukan kerana kehendak dan kemahuan kita bukan sesuatu yang mudah. Menafikan sesuatu yang sebenarnya memang wujud juga tidak senang.
Sesuatu itu berjaya membuatkan aku lupa kepada masalah lalu. Berjaya membuang segala kenangan pahit yang memasungkan kaki aku daripada terus melangkah untuk memulakan hidup baru. Sesuatu itu mampu memberikan aku peluang untuk kembali mengenali warna-warna pelangi yang walaupun hadirnya cuma selepas hujan tapi indahnya hingga ke hujung dunia. Sesuatu itu hebatnya dalam memberikan aku harapan betapa hidup ini masih ada senyuman untuk aku.
Tapi kenapa sesuatu itu tidak lagi memberikan aku perasaan yang sama? Kenapa sesuatu itu tidak lagi menjanjikan senyum dan ketawa dalam hari-hari yang berlalu? Kenapa sesuatu itu tidak lagi memaniskan senyumnya demi untuk memberikan bahagia dalam hidup aku?
Pedih perit rasanya. Untuk menerima bilamana sesuatu itu berubah tanpa pernah mempedulikan hilangnya manis berganti tawar yang aku rasa hari ini. Sesingkat itu saja yang aku rasa. Aku cuba. Tapi huluran tak bersambut. Aku cuba. Tapi senyuman tak berbalas. Aku cuba tapi rasa tak lagi serupa.
Jauh di dalam hati aku serasa mahu berhenti. Berhenti daripada terus menyeksa diri. Berhenti daripada terus menangisi. Kerana terbazirnya air mata bagaikan tiada makna. Tiada harga kerana segalanya masih sama.
Apa yang aku rasa hari ini bagaikan sama seperti di dalam penjara lama. Hanya aku yang punya rasa. Hanya aku yang punya usaha. Hanya aku yang punya cinta. Kerana hakikanya, kau tak lagi serupa.
0 comments:
Post a Comment