Nuffnang Ads

Wednesday, September 24, 2014

Kau tahu.

Yang terlahir itu kerana aku jujur. Yang terlahir itu kerana aku telus. Yang terlahir itu kerana aku ikhlas.

Yang terzahir itu kerana aku kasih. Yang terzahir itu kerana aku rindu. Yang terzahir itu kerana aku sayang.

Sukarkah untuk difahami dalamnya segala rasa yang terluah itu. Sukarkah untuk dimengerti tulusnya setiap tutur yang berlagu. Atau kau sengaja tak pernah mahu faham dan ambil tahu.

Kau tahu terlewatnya hadirmu meralatkan kebodohan yang pernah berlaku dulu. Kau tahu kalaulah kita tahu indahnya hidup hari ini, dahulu kau pasti dengan aku.

Andai masa itu di tangan aku. Andai masa itu di dalam kawalan aku. Aku tahu, kau tahu, kita tahu. Kau hanya untuk aku.

Hari ini perlukah kau dan aku mensia-siakan semuanya?

Kau.

Kau berikan nafas.
Kau berikan senyum.
Kau berikan ketawa.

Kau berikan hidup.
Kau berikan harapan.
Kau berikan cahaya.

Kau berikan rindu.
Kau berikan sayang.
Kau berikan cinta.

Tapi itu dulu.

Sesuatu itu.

Melawan sesuatu rasa yang datangnya bukan kerana kehendak dan kemahuan kita bukan sesuatu yang mudah. Menafikan sesuatu yang sebenarnya memang wujud juga tidak senang.

Sesuatu itu berjaya membuatkan aku lupa kepada masalah lalu. Berjaya membuang segala kenangan pahit yang memasungkan kaki aku daripada terus melangkah untuk memulakan hidup baru. Sesuatu itu mampu memberikan aku peluang untuk kembali mengenali warna-warna pelangi yang walaupun hadirnya cuma selepas hujan tapi indahnya hingga ke hujung dunia. Sesuatu itu hebatnya dalam memberikan aku harapan betapa hidup ini masih ada senyuman untuk aku.

Tapi kenapa sesuatu itu tidak lagi memberikan aku perasaan yang sama? Kenapa sesuatu itu tidak lagi menjanjikan senyum dan ketawa dalam hari-hari yang berlalu? Kenapa sesuatu itu tidak lagi memaniskan senyumnya demi untuk memberikan bahagia dalam hidup aku?

Pedih perit rasanya. Untuk menerima bilamana sesuatu itu berubah tanpa pernah mempedulikan hilangnya manis berganti tawar yang aku rasa hari ini. Sesingkat itu saja yang aku rasa. Aku cuba. Tapi huluran tak bersambut. Aku cuba. Tapi senyuman tak berbalas. Aku cuba tapi rasa tak lagi serupa.

Jauh di dalam hati aku serasa mahu berhenti. Berhenti daripada terus menyeksa diri. Berhenti daripada terus menangisi. Kerana terbazirnya air mata bagaikan tiada makna. Tiada harga kerana segalanya masih sama.

Apa yang aku rasa hari ini bagaikan sama seperti di dalam penjara lama. Hanya aku yang punya rasa. Hanya aku yang punya usaha. Hanya aku yang punya cinta. Kerana hakikanya, kau tak lagi serupa.

Monday, September 22, 2014

Sedih.

Sedih. Aku rasa seperti mahu menangis. Walau sebenarnya air mata sudah lama mengalir. Dalam hati. Dan kian terzahir di pipi.

Allah, Kau berikanlah aku segala kekuatan. Dugaan kali ini lebih hebat rasanya. Terluka dengan tingkah laku dan perbuatan. Yang bagai meletakkan aku sebagai persinggahan. Sebuah perhentian yang bila-bila masa saja boleh ditinggalkan.

Sungguh aku benar-benar mahukan cahaya ini sampai ke hujung. Bukan mendung. Andai ada sekalipun biarlah cuma sekejap. Yang menjadikan hidup lebih berwarna seperti pelangi. Bukan ribut tanpa henti.

Semuanya sama. Itu yang aku rasa. Air jernih yang mengalir tak pernah aku tahu hadirnya kerana apa. Rindu atau benci.